OPICK dan Ronnie.
OPICK dan Ronnie.
OPICK dan Nana menyanyikan dua lagu duet.
OPICK dan Nana menyanyikan dua lagu duet.
OPICK (tengah) selaku penyanyi utama menyampaikan 24 lagu bersama Nana dan Ronnie.
OPICK (tengah) selaku penyanyi utama menyampaikan 24 lagu bersama Nana dan Ronnie.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Sempena sambutan Maulidur Rasul yang diraikan semalam, syarikat Mask Team dan Indigital Sdn Bhd dengan kerjasama Istana Budaya (IB) buat julung kali menganjurkan Malam Kalimah Cinta.

Konsert yang bermula pada 23 sehingga 25 Disember itu menampilkan dua penyanyi hebat Malaysia dan Indonesia iaitu Hafiz Hamidun dan Opick.

Persembahan malam pertama menyaksikan kehebatan Opick, 41, menyanyikan 24 lagu termasuk tiga lagu duet bersama penyanyi jemputan, Siti Nordiana dan Ronnie Hussein.

Bagaimanapun, sepanjang hampir dua jam persembahan, Opick mengakui belum puas.

“Persembahan satu malam memang tak mencukupi. Saya belum puas apatah lagi melihat sambutan penonton.

“Sehinggakan saya tak rasa 24 lagu selesai dinyanyikan. Memandangkan jadual kerja saya tidak mengizinkan berada lama di sini, sebab itu saya hanya dapat beraksi satu malam sahaja.

“Insya-Allah jika diberi pelung pada masa akan datang, saya pasti mahu ke sini lagi,” katanya.

Persembahan malam itu menjadi satu lagi catatan indah buat Opick sepanjang kariernya di Malaysia apabila buat pertama kali beraksi di pentas berprestij Istana Budaya.

“Program ini menjalin kerjasama baik antara pihak saya dan penganjur. Jujurnya, saya seronok dan selesa bekerja dengan mereka. Dalam erti kata lain, ia satu penganjuran yang luar biasa,” katanya.

Opick turut memuji sikap pengurusan tertinggi Istana Budaya kerana membenarkan program sebegini diadakan apatah lagi bagi meraikan hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Bercerita mengenai persembahannya, Opick diiringi pemuzik yang sering bekerjasama dalam pembikinan albumnya.

Sementara itu, koleksi lagu dipilih berdasarkan tujuan penganjuran konsert terbabit.

“Kebanyakan lagu yang dialunkan pernah popular di Malaysia dan Indonesia. Malah, ada antaranya menjadi lagu wajib setiap kali mengadakan persembahan.

“Saya turut menyampaikan lagu berbentuk zikir dan selawat. Alhamdulillah, penonton yang hadir sangat ‘sporting’ apabila turut menyanyi bersama saya,” katanya.

Menerusi persembahan duet Opick dan Siti Nordiana atau Nana, mereka berjaya menambat hati penonton menerusi lagu Maha Melihat dan Takdir.

“Sebelum diberitahu siapa penyanyi jemputan, penganjur terlebih dahulu menunjukkan beberapa video nyanyian Nana. Daripada situ saya tertarik dan terus bersetuju.

“Memandangkan sebelum persembahan di sini saya ada banyak perkara lain yang perlu diuruskan di Indonesia, jadi latihan bersama Nana tak lama. Saya bertuah kerana digandingkan dengan juara program Gegar Vaganza musim kedua yang sudah diakui kehebatan vokalnya,” katanya.

Begitu juga dengan Ronnie, kata Opick bekas vokalis Kumpulan Hyper Act itu sangat fokus dan memberi komitmen tinggi meskipun hanya berduet sebuah lagu.

Antara lagu hit yang dipersembahkan adalah Ya Maulana, Dealova, Bila Waktu Tlah Memanggil, Ketika Cinta Memanggil dan banyak lagi.

Selepas Opick, pentas berprestij itu diambli alih Hafiz Hamidun selama dua malam berturut-turut. Penyanyi dan komposer terkenal itu menyampaikan lagu ketuhanan dan alunan zikir yang dimuatkan dalam album Zikir Terapi 1, 2 dan 3.

Persembahan Hafiz diiringi pemuzik di bawah pimpinan Uzair dan menampilkan Lah Ahmad selaku penyanyi jemputan.

Bagi yang ingin menyaksikan Malam Kalimah Cinta pada hari ini, tiket masih boleh dibeli di AirAsia RedTix atau boleh terus ke kaunter jualan tiket Istana Budaya.

Satu penghargaan

Pujian melambung diberikan kepada persembahan Nana dan Ronnie.

Menurut Nana, dia tidak mengambil masa lama untuk menyatakan persetujuan apabila ditawarkan penganjur.

“Saya antara peminat setia lagu Opick. Semua lagunya menjadi inspirasi kepada saya untuk menghasilkan album berunsur ketuhanan,” katanya.

Sementara itu, Ronnie berterima kasih kepada pihak pe­ nganjur dan IB kerana percayakan bakatnya.

“Sebelum memulakan persembahan sehinggalah habis, rasa gementar saya tak boleh hilang. Bukan senang dapat peluang beraksi di IB dan saya sangat bersyukur terpilih.

“Meski cuma satu lagu dan tak sampai lima minit berduet, ia pengalaman sangat berharga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2015 @ 3:00 AM