HAFIZ kagum dengan Halim. - FOTO Aziah Azmee
HAFIZ kagum dengan Halim. - FOTO Aziah Azmee
Zaara Talita


Tampil dengan idea unik menggabungkan alunan zikir bersama dikir menerusi Konsert Zikir Dikir, komposer dan penyanyi, Hafiz Hamidun turut menyelitkan mesej positif buat pendengar.

Lari dari konsep persembahan nasyid biasa, konsert yang bakal dianjurkan pada 3 Mei depan di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu itu turut menampilkan ikon dikir barat, Halim Yazid.

Menurut Hafiz, keputusannya selaku penganjur konsert memilih ikon dikir barat itu adalah untuk memartabatkan muzik yang dipandang enteng segelintir pihak.

"Sebenarnya kami sering bertemu setiap kali saya ke Kelantan memenuhi undangan persembahan. Apabila berjumpa, mesti terdetik bila saya dapat adakan persembahan dengan Halim.

"Bukan apa, tempoh perkenalan kami sudah hampir 10 tahun, jadi nombor telefonnya berada dalam simpanan saya saja. Jadi, apabila kerajaan buka Dana Kandungan Digital (DKD) melalui MyCreative Ventures, saya ambil peluang cuba nasib dan berjaya.

"Dengan itu lahir idea menganjurkan Konsert Zikir Dikir ini. Selepas semuanya pasti, saya hubungi Halim untuk mengundangnya dan tanpa banyak cakap, dia terus setuju," katanya.

Menurut Hafiz, Halim yang popular dengan lagu Anak Tupai itu turut menyelitkan mesej positif menerusi karyanya.

HAFIZ tampil ikon dikir barat dalam konsert serlah gabungan unik irama kerohanian dengan kebudayaan. - FOTO Aziah Azmee
HAFIZ tampil ikon dikir barat dalam konsert serlah gabungan unik irama kerohanian dengan kebudayaan. - FOTO Aziah Azmee

"Kalau ikutkan kita ada ramai pendikir yang boleh ditonton di YouTube. Tapi, bila kita hayati lagu dikir barat Halim, ia sarat mesej positif dan baik yang saya rasa sesuai dengan konsert ini.

"Halim bukan satu nama yang asing. Dia cukup dikenali khususnya dalam kalangan orang-orang di Pantai Timur. Lagipun bila lagi kita nak angkat seorang yang boleh kita anggap sebagai legenda sepertinya?

"Kita biasa kenal makyung, Mek Mulong dan ghazal, tetapi tiada siapa yang bawanya ke tahap lebih tinggi. Jadi, saya berasakan perlu untuk angkat orang seperti Halim," katanya.

Bercerita mengenai Konsert Zikir Dikir, Hafiz yang juga pemilik Arteffects Sdn Bhd berkata, konsert itu bakal berlangsung dua jam setengah dengan 15 lagu.

"Konsert itu dibahagikan kepada tiga segmen iaitu kerohanian, kebudayaan dan zikir dikir di mana pada segmen ketiga itu, saya bersama Halim bergabung dengan diiringi 'live band'," katanya.

Selain Hafiz dan Halim, konsert itu turut mengundang dua tetamu undangan iaitu Aiman Sidek dan Halim Ahmad.

Maklumat mengenai tiket boleh layari www.zikirdikir.com.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 6:50 AM