PASUKAN Taekwondo PMJ raih enam emas untuk muncul juara kejohanan.
PASUKAN Taekwondo PMJ raih enam emas untuk muncul juara kejohanan.

Mersing: Politeknik Mersing Johor (PMJ) mendominasi Kejohanan Taekwondo Majlis Sukan Politeknik Malaysia dan Perlawanan Persahabatan 2015 yang diadakan di Dewan PMJ, baru-baru ini.

PMJ mengalahkan 14 pasukan politeknik lain dan memenangi enam emas, dua perak dan satu gangsa manakala Politeknik Merlimau Melaka (PMM) menduduki tempat kedua (3, 1, 2) diikuti Politeknik Ungku Omar (2, 5, 1).

Kejohanan berkenaan anjuran bersama PMJ dan Majlis Sukan Politeknik Malaysia dan diadakan untuk mencungkil bakat dalam kalangan pelajar politeknik untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Pengarah Kejohanan, Penner Selvam berkata, kejohanan yang diadakan selama tiga hari itu mendapat sambutan amat menggalakkan dalam kalangan pelajar politeknik di negara ini.

Menurutnya, peserta yang berjaya menggondol pingat emas hingga gangsa akan diketengahkan ke peringkat lebih tinggi atau mewakili Politeknik Malaysia dalam kejohanan di peringkat kebangsaan nanti.

“Dengan menyertai kejohanan ini, ramai bakat baru dalam taekwondo yang boleh digilap untuk mewakili Majlis Sukan Politeknik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, sempena kejohanan itu, jemputan dari luar negara termasuk Thailand dan Indonesia juga diadakan dengan mengadakan perlawanan persahabatan tiga penjuru antara Malaysia, Thailand dan Indonesia.

Sementara itu, tiga wakil PMJ yang memenangi emas dalam kejohanan itu berazam untuk mengekalkan pingat yang diperoleh pada kejohanan akan datang.

Ahmad Fahmy Al-Haqim Harun, 19, berkata dia gembira kerana berjaya mendapat pingat emas dalam kejohanan itu setelah mengalahkan lawan di final.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2015 @ 7:37 AM