TIMBALAN Setiausaha Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Datuk Dr Pekan Ramli.
TIMBALAN Setiausaha Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Datuk Dr Pekan Ramli.
Syafiq Aznan


Surabaya: Malaysia kekal menjadi tuan rumah Sukan Universiti Asean (AUG) bagi edisi 2026 meskipun Kemboja cuba membida hak penganjuran tuan rumah bagi kejohanan yang berlangsung dua tahun sekali itu.

Perkembangan itu dimaklumkan Timbalan Setiausaha Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Pekan Ramli selepas selesai Mesyuarast Majlis Sukan Universiti ASEAN (AUSC) yang diadakan di Surabaya, pagi tadi.

"Malaysia terpilih sebagai tuan rumah temasya edisi 2026 dan ini satu keputusan tepat dibuat sekretariat AUSC sekali gus mengetepikan hasrat Kemboja yang tiba-tiba menyatakan hasrat mereka untuk mengambil alih menjadi tuan rumah edisi 2026.

"Dengan keputusan ini, saya rasa segala perancangan kita tidak akan terganggu walaupun kita ada tempoh waktu agak singkat di mana tidak sampai dua tahun untuk kita menyediakan kita selaku tuan rumah edisi seterusnya," kata Pekan ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, Malaysia sepatutnya menjadi tuan rumah bagi edisi 2024 sebelum menyerahkan penganjuran bagi edisi kali ini atas permintaan Indonesia yang melangsungkannya di Surabaya dan Malang.

Susulan itu, edisi 2026 sepatutnya menjadi milik Malaysia namun Kemboja membuat keputusan untuk turut membida hak tuan rumah dan AUSC akhirnya memutuskan AUG 2026 kekal di bumi Malaysia.

Sebagai rekod, Malaysia mula menjadi tuan rumah AUG pada 1984 dengan hanya enam jenis sukan dipertandingkan membabitkan penyertaan enam negara pada edisi ketiga itu.

Malaysia turut menjadi tuan rumah bagi edisi 1993 dan 2008 dan selepas 18 tahun, AUG kembali ke Malaysia buat kali keempat pada 2026.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 1:21 PM