BIARPUN berdepan cabaran, namun sukarelawan PMJ tetap sabar demi membantu mangsa banjir yang terjejas.
BIARPUN berdepan cabaran, namun sukarelawan PMJ tetap sabar demi membantu mangsa banjir yang terjejas.
Oleh Mohd Sah Muda

Atas dasar keprihatinan tinggi terhadap mangsa banjir di pantai timur, Politeknik Mersing Johor (PMJ) menghantar Misi Kemanusiaan Pasca Banjir ke Pahang dan di Kelantan, baru-baru ini .

Penghantaran 80 pelajar, pensyarah dan kakitangan PMJ itu bagi melakukan kerja pembersihan SK Kuala Krau, Pahang yang terjejas teruk akibat banjir.

Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PMJ, Lajakarek Mohd Amin berkata, antara kerja dilaksanakan sepanjang tiga hari berkampung di daerah berkenaan termasuk mencuci bilik darjah sekolah itu yang dipenuhi lumpur.

“Kerja yang dilaksanakan itu mendapat reaksi baik dalam kalangan warga sekolah itu.

“Mereka menghargai pertolongan yang diberikan memandangkan sangat kekurangan tenaga kerja sedangkan sesi persekolahan sudah berlangsung,” katanya.

Pasukan sukarelawan PMJ yang terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar, Sukarelawan YES dan pensyarah turut membersihkan persekitaran kampung

Sebelum itu seramai 10 pensyarah dan dua pemandu dari Unit Amal PMJ sudah melaksanakan misi penghantaran awal termasuk makanan, pakaian, ubat-ubatan, keperluan bayi dan kanak-kanak serta wang tunai.

Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Elektrik PMJ, Zulhazmi Kassim berkata, kerja yang dilakukan itu penuh cabaran, namun, mereka ketepikan rasa gusar dan kepenatan itu untuk menjayakan misi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 5:06 AM