NOORFADHILAH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung penganjuran Konsert Double Trouble 2, tahun lepas. FOTO BERNAMA
NOORFADHILAH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung penganjuran Konsert Double Trouble 2, tahun lepas. FOTO BERNAMA
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Seorang bekas penolong pengurus sebuah agensi kerajaan yang hamil lapan bulan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung penganjuran Konsert Double Trouble 2, tahun lalu.

Noorfadhilah Mohd Idris, 37, didakwa secara rasuah meminta suapan RM30,000 daripada Abd Zamin Abd Kadir sebagai upah untuk tertuduh membantu mendapatkan kelulusan Geran Dana Kandungan Digital bagi syarikat Playmad Sdn Bhd untuk penganjuran konsert itu.

Bagi pertuduhan kedua, wanita itu didakwa menerima bagi dirinya suatu suapan iaitu cek tunai RM13,900 daripada akaun bank milik Anggerik Event Sdn Bhd sebagai upah kerana membantu mendapatkan kelulusan geran itu bagi penganjuran konsert berkenaan.

Noorfadhilah didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di dalam Wilayah Persekutuan dan sebuah bank di Cawangan Setapak, Taman Setapak Indah Jaya, di sini, antara Januari dan 11 September 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali menawarkan jaminan RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Mohd Zali Shaari yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya sedang mengandung lapan bulan dan sudah tidak bekerja berikutan kes itu.

"Anak guam saya kini sedang mengandung anak ketiga serta mempunyai dua anak yang masing-masing berumur empat dan sembilan tahun. Dia kini membantu suaminya yang bekerja sendiri," katanya.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 9 Ogos untuk sebutan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 1:33 PM