ATLET Kelab Taekwondo Koryo bergambar bersama pingat dan hadiah dimenangi.
ATLET Kelab Taekwondo Koryo bergambar bersama pingat dan hadiah dimenangi.
myMetro

Kuala Lumpur: Semangat kesukanan dan sorakan penonton menyemarakkan suasana pertandingan antara atlet taekwondo muda yang cuba merebut tempat ke Pusingan Akhir Kejohanan Taekwondo Remaja Nestle Koko Krunch edisi ke-12.

Pertandingan di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras baru-baru ini menyaksikan pembabitan 646 atlet muda dari 26 kelab taekwondo seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kejohanan Zon Tengah menarik minat 221 peserta perempuan dan 425 peserta lelaki dengan 276 peserta berumur antara 7 hingga 9 tahun manakala 370 peserta berumur antara 10–12 tahun.

Kelab Taekwondo Koryo muncul juara keseluruhan bagi Zon Tengah selepas berjaya mengumpul 11 pingat emas, 13 perak dan enam gangsa, manakala Team A muncul naib juara dengan lima emas, empat perak dan dua gangsa.

Kejayaan Kelab Taekwondo Koryo sebahagian besarnya disumbang oleh skuad perempuannya yang berjaya mengumpul lapan emas, empat perak dan satu gangsa sekali gus mengungguli gelaran juara keseluruhan berpasukan perempuan.

Team A pula muncul juara keseluruhan berpasukan lelaki dengan empat emas, dua perak dan dua gangsa.

Pengerusi Teknikal Taekwondo Malaysia (WTF) R Dhanaraj yang mewakili Presiden Taekwondo Malaysia Datuk Seri SA Vigneswaran merasmikan upacara penyampaian pingat dan penutup.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Nestle Malaysia kerana komitmen yang tidak berbelah bagi kepada pembangunan taekwondo di Malaysia menerusi pertandingan ini.

“Ia satu landasan yang baik untuk memberi peluang kepada bakat muda mengasah kemahiran mereka dalam persaingan yang sihat. Saya percaya pertandingan sebegini dapat memainkan peranan penting dalam usaha menyediakan peluang bagi bakat muda muncul juara dunia,” katanya.

Kejohanan Taekwondo Remaja Nestle Koko Krunch ke-12 diadakan di empat zon. Pertandingan bagi Zon Selatan akan diadakan di Melaka pada 11 Mac, Zon Utara di Pulau Pinang pada 8 April dan Zon Timur di Pahang pada 29 April.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2017 @ 7:55 AM