KOLEJ Melayu Kuala Kangsar (MCKK). FOTO Arkib NSTP
KOLEJ Melayu Kuala Kangsar (MCKK). FOTO Arkib NSTP
Muhamad Lokman Khairi

Seri Iskandar: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak menafikan ada sekolah elit di negeri ini menolak garis panduan baharu Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP).

Garis panduan baharu DLP mewajibkan sekurang-kurangnya satu kelas mengajar mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu di setiap Tahun dan Tingkatan bermula dengan Tahun 1 dan Tingkatan 1 mulai Kalendar Akademik Sesi 2024/2025.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, JPN Perak tidak menerima sebarang laporan sekolah ingkar terhadap arahan itu.

"Setakat ini, saya dapat maklumat daripada JPN, tiada laporan tentang itu dan kelas DLP di Perak berjalan seperti disyaratkan Pekeliling KPM.

"Tiada isu setakat ini, saya faham dan JPN pun tiada memaklumkan kepada saya ada isu sekolah (elit) yang menolak dan sebagainya.

"Dari segi proses pelaksanaan, kelas DLP berjalan seperti biasa dan kita harap ini membantu meningkatkan prestasi anak-anak kita," katanya semasa ditemui pada Program Cakna @ Impak Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Seri Iskandar di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Abdul Rahim yang mendakwa sekolah elit seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dikecualikan pelaksanaan DLP.

Mengulas lanjut, Khairudin berkata, sekiranya berlaku penolakan terhadap garis panduan baharu itu pada masa akan datang, JPN Perak akan mengadakan libat urus segera bersama pihak sekolah serta ibu bapa.

"Sebenarnya kita ada sesi libat urus sebelum kelas DLP dimulakan di sesebuah sekolah, kita ada libat urus melibatkan JPN, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pengurusan sekolah serta Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

"Pada masa itulah, pihak berkenaan boleh kemukakan persoalan, isu atau cadangan supaya diberi ruang dan peluang untuk diangkat kepada KPM.

"Kemudian, baru diberi penilaian kerana kelas DLP tak boleh berjalan sekiranya tidak mendapat persetujuan daripada ibu bapa pelajar," katanya.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dipetik berkata, semua sekolah termasuk sekolah berasrama penuh perlu mematuhi garis panduan ditetapkan berhubung pelaksanaan DLP yang bertujuan Memartabatkan Bahasa Malaysia & Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Dalam pada itu, hampir 60 pelajar IKBN Seri Iskandar menyertai program berkenaan bergotong-royong membersih serta menceriakan Masjid As-Siddiq serta mengecat dan menjalankan kerja-kerja pendawaian semula Dewan Serbaguna Taman Iskandar Perdana, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 1:21 PM