PESERTA Rumah Zamrud (hijau) mengungguli Kejohanan Olahraga MRSM Mersing kali ke-6, baru-baru ini.
PESERTA Rumah Zamrud (hijau) mengungguli Kejohanan Olahraga MRSM Mersing kali ke-6, baru-baru ini.
Mohd Sah Muda

Mersing: Rumah Zamrud (hijau) mengungguli Kejohanan Olahraga Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Mersing kali ke-6 yang berlangsung di padang maktab berkenaan, baru-baru ini.

Rumah Zamrud mengumpul 2,108 mata sekali gus mengalahkan tiga rumah lain dalam kejohanan diadakan selama dua hari itu.

Kejohanan Olahraga berkenaan dilangsungkan bagi memilih atlet yang bakal mewakili kontinjen MRSM terbabit ke kejohanan olahraga peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia, Daerah Mersing dan Kejohanan Olahraga MRSM Zon Selatan tidak lama lagi.

Tempat kedua dimenangi Rumah Nilam (kuning ) dengan 2,036 mata diikuti Rumah Baiduri (biru) (1,576 mata) dan rumah Delima (Merah) (1,506 mata).

Pengelola kejohanan, Mohd Aidil Junus berkata, beberapa rekod baru kejohanan berjaya dipecahkan kali ini termasuk dalam acara 1,500 meter lelaki.

Menurutnya, olahragawan, Ahmad Nazirul Mubin Osman, 16, dari rumah Nilam memecahkan rekod acara 1,500 meter lelaki (05.07.00s) yang dicipta pada 2016. Dia melakukan 05.00.10s.

Katanya, Ahmad Nazirul turut memenangi emas dalam acara 800 meter dan 4x400 meter.

“Gelaran olahragawati disandang Nureen Aisyah Mahmud, 16, dari rumah Zamrud. Dia memenangi tiga emas dalam acara 100 dan 200m perempuan serta 4x100m,” katanya.

Beliau berkata, dengan mengadakan kejohanan itu, pihak Maktab dapat memilih peserta yang akan mewakili sekolah berkenaan ke peringkat kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Mersing (MSSDM) tidak lama lagi.

Menurutnya, pelbagai acara sukan padang dan balapan diadakan sempena kejohanan itu termasuk acara guru.

“Selain itu, dengan mengadakan kejohanan itu juga dapat melahirkan ramai jaguh sukan dari maktab ini yang boleh diketengahkan di peringkat MSSDM di masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Rumah Zamrud, Sahrul Anuar Mohd Din berkata, berkat kerjasama semua pihak termasuk guru rumah, pelajar dan kakitangan membolehkan mereka muncul juara tahun ini.

Menurutnya, latihan intensif kepada peserta rumah berkenaan yang diadakan seminggu sebelum kejohanan membuahkan hasil dan Nureen Aisyah dinobatkan sebagai olahragawati.

“Kami akan cuba mempertahankan kejuaraan ini dua tahun lagi dengan memilih beberapa pelapis berbakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 7:34 AM