MELVIN menyerahkan replika cek tajaan sambil diperhati Samsul Nizam (kanan) di Petaling Jaya, baru-baru ini.
MELVIN menyerahkan replika cek tajaan sambil diperhati Samsul Nizam (kanan) di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Oleh Nasir Ahmad

Kuala Lumpur: Tujuh negara akan memeriahkan Kejohanan Taekwondo Jemputan Kepong Loh Kok Man Keenam pada 22 hingga 24 Mei ini di Dewan Badminton Cheras.

Kejohanan anjuran Kelab Taekwondo NewGen Kepong dengan kerjasama Politeknik Mersing, Johor itu membabitkan 1,200 atlet dari Thailand, Singapura, Indonesia, Hong Kong, Mali, Kazakhstan dan Malaysia.

Penaja kejohanan, Datuk Melvin Loh Kok Man berkata, penganjuran ini dapat membuka ruang kepada atlet Institut Pengajian Tinggi (IPT) menimba pengalaman sebelum mewakili negara ke peringkat lebih tinggi.

“Saya ingin melihat lebih ramai belia melibatkan diri dengan aktiviti sihat seperti taekwondo dan tidak terbabit dengan gejala sosial yang kian meruncing,” kata Melvin.

Samsul Nizam Abdul Rahim mewakil Politeknik Malaysia pula berkata, Kelab Taekwondo NewGen banyak membantu atlet politeknik mencipta nama menerusi program pembangunan sukan itu.

“Kini Politeknik Malaysia menghasilkan ramai atlet taekwondo bermutu yang mampu bersaing di persada antarabangsa,” kata Samsul Nizam yang juga Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 9:00 AM