MENUNJUKKAN cara memadamkan api.
MENUNJUKKAN cara memadamkan api.
Oleh Mohd Sah Muda


Seramai 162 pelajar Politeknik Mersing Johor (PMJ) menyertai Kursus Asas Pertahanan Awam, Pasukan Institusi Pertahanan Awam (PISPA) di Kem Bina Semangat Yayasan Pelajaran Johor, baru-baru ini.

Kursus tiga hari itu bertujuan memantapkan pembabitan pelajar bagi mencapai satu daripada lapan teras pembangunan Kemahiran Insaniah (KI) yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan.

Ia adalah teras kesukarelawanan dengan pelajar diterapkan nilai positif bagi memantapkan lagi pencapaian dari segi akademik, fizikal, mental dan kemahiran insaniah.

Ajutan PISPA Politeknik Mersing Johor Zulhazmi Kassim berkata, program berkenaan dapat mendidik pelajar mengenai langkah keselamatan diri serta melahirkan generasi berpengetahuan dalam ilmu pertahanan awam.

Menurutnya, setiap anggota PISPA di Politeknik Kementerian Pendidikan wajib mengikuti Kursus Asas Pertahanan Awam bagi mendapatkan nombor dan kad pengenalan anggota, sekali gus secara rasminya adalah anggota JPAM.

“Kursus ini menjadi pemangkin kepada kesedaran keselamatan orang awam dan pada masa sama mampu melahirkan pelajar bertanggungjawab, taat setia dan mempunyai semangat patriotisme.

“Sebagai generasi masa depan, perlu menyuntik pelbagai nilai elemen kepada mereka bagi memastikan mampu meneruskan kesinambungan pembangunan negara,” katanya.

Peserta kursus terbaik keseluruhan, Fazril Farhan Dainel, 18, berkata dia tidak menyangka terpilih sebagai peserta terbaik keseluruhan.

“Dengan anugerah ini, membakar semangat saya untuk memberi contoh yang baik kepada rakan.

“Bukan mudah, namun semua boleh dilakukan andai kata ada keberanian, kepatuhan serta keyakinan diri yang tinggi,” katanya.

Peserta terbaik perempuan, Siti Sakinah Sanusi, 18, ternyata cukup terkejut kerana diberi kepercayaan muncul sebagai contoh kepada peserta lain.

“Saya bangga dengan pengiktirafan ini dan berharap mampu menjadi contoh terbaik kepada rakan lain.

“Saya lebih bersemangat untuk menambah pengetahuan pada masa depan, sekali gus mengaplikasikannya dalam kehidupan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 12:40 PM