Asrama pekerja yang terbakar di sebuah kilang di Senawang, pagi tadi. FOTO ihsan bomba
Asrama pekerja yang terbakar di sebuah kilang di Senawang, pagi tadi. FOTO ihsan bomba
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Lelaki warga Nepal melecur seluruh badan apabila asrama pekerja sebuah kilang di Senawang, di sini, terbakar pagi tadi.

Dalam kejadian 7 pagi itu, kontena terletak dalam kawasan kilang berkenaan yang dijadikan asrama pekerja tiba-tiba terbakar menyebabkan mangsa yang berada dalam kontena itu terperangkap.

Pekerja kilang warga Nepal berusia 20-an terbabit yang dipercayai sedang tidur disambar api menyebabkan seluruh badannya melecur sebelum berjaya diselamatkan pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Faiz Suleiman berkata, mangsa melecur 100 peratus dan diserahkan kepada ambulans untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini.

Menurutnya, sebanyak lima jentera dengan kekuatan 20 pegawai dan anggota termasuk bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban serta Rembau terbabit dalam operasi memadamkan kebakaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 4:32 PM