Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Seorang juruteknik sebuah kilang, maut dibunuh seorang lelaki warga Nepal di sebuah kilang, kawasan perindustrian Senawang, di sini, kira-kira 3 pagi ini.

Mayat mangsa, R Jayaram, 56, ditemui seorang pengawal keselamatan kilang berkenaan yang menjalankan rondaan sebelum memaklumkan kepada majikannya dan polis.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Khoo Leng Huat, berkata mangsa ditemui terbaring atas rumput dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati mangsa maut dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) untuk bedah siasat. Siasatan lanjut berjaya menahan suspek di rumahnya di Taman Seri Pagi, Senawang, bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:44 PM