BAS persiaran membawa pekerja kilang selesai divaksin terbakar berhampiran Bukit Putus. FOTO Ihsan Bomba.
BAS persiaran membawa pekerja kilang selesai divaksin terbakar berhampiran Bukit Putus. FOTO Ihsan Bomba.
Ahmad Hasbi


Seremban: Sekumpulan pekerja kilang yang selesai menerima vaksin di daerah ini panik apabila bas dinaiki mereka tiba-tiba terbakar di Jalan Kuala Pilah - Seremban dekat Bukit Putus, di sini hari ini.

Bagaimanapun, semua 45 pemandu dan penumpang dalam bas itu sempat menyelamatkan diri serta tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Senawang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Hidayat Basly berkata, pihaknya dimaklum kejadian pada 12.05 tengah hari dan tiba di lokasi 13 minit kemudian.

"Ketika tiba, didapati sebuah bas persiaran terbakar dan kami mengambil masa hampir satu jam untuk memadamkan kebakaran.

"Bantuan turut diperoleh daripada BBP Seremban dan Seri Menanti, namun bas berkenaan terbakar 100 peratus," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan bas itu membawa 45 pekerja kilang yang selesai divaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Pusat Perniagaan Cattleya, Senawang dan dalam perjalanan pulang ke Simpang Pertang, Jelebu.

Menurutnya, tiada mangsa cedera dalam insiden itu, namun kebakaran telah menyebabkan berlaku kesesakan jalan raya di kedua-dua arah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 3:30 PM