KEBAKARAN  kilang plastik di Pengkalan Chepa, semalam.
KEBAKARAN kilang plastik di Pengkalan Chepa, semalam.
ANGGOTA bomba   menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam kebakaran di bahagian belakang sebuah kilang plastik di Pengkalan Chepa, semalam.
ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam kebakaran di bahagian belakang sebuah kilang plastik di Pengkalan Chepa, semalam.
Muhamaad Razis Ismail dan Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: “Jeritan kuat meminta tolong menyebabkan saya terhenti membuat rondaan sebelum terlihat kepulan asap dari kilang berhampiran,” kata pengawal keselamatan Wan Asmadi Wan Ali, 39.

Dia adalah saksi kebakaran kilang menghasilkan produk plastik di kawasan perindustrian Pengkalan Chepa, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, dua pekerja kilang warga Nepal berkenaan melecur seluruh badan, manakala dua lagi cedera ringan ketika cuba menyelamatkan diri.

Seorang mangsa, Padam Bahadur Bandari, 33, yang melecur 90 peratus di anggota badan kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Bagaimanapun, 16 pekerja lain membabitkan warga Myanmar dan Nepal tidak mengalami sebarang kecederaan selepas diselamatkan bomba melalui bumbung kilang berkenaan.

Menurut Wan Asmadi, ketika kejadian, dia sedang membuat rondaan di kawasan kilang sebelum dikejutkan dengan jeritan meminta tolong di kilang berhampiran.

Katanya, dia kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan terkejut melihat kepulan asap sambil terdengar jeritan meminta pertolongan.

“Saya terus bergegas ke pondok pengawal dan menghubungi bomba dan tidak mampu berbuat apa-apa kerana api merebak dengan cepat.

“Tidak lama kemudian bomba sampai dan membantu mengeluarkan mereka yang terperangkap dan memadamkan kebakaran.

“Saya sempat lihat beberapa mangsa melecur mengerang kesakitan ketika cuba menyelamatkan diri sebelum dibawa ambulans ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan Azmi Osman berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa menerima panggilan kecemasan jam 3.04 pagi sebelum 45 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dengan bantuan tambahan dari BBP Kota Bharu, Tunjung dan Pasir Tumboh.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, bahagian belakang kilang itu sudah 40 peratus terbakar.

“Pada masa sama, 20 pekerja terperangkap di dalam kilang berkenaan selepas laluan untuk keluar dihalang api. Tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan semua pekerja yang dibawa keluar melalui bumbung dan dibawa turun menggunakan tangga.

“Api berjaya dikawal pada jam 3.38 pagi dan kami mengambil masa hampir empat jam untuk memadamkan api daripada terus merebak ke keseluruhan kilang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2017 @ 9:24 AM