REAKSI Nagelsmann ketika pasukannya menentang Switzerland.
REAKSI Nagelsmann ketika pasukannya menentang Switzerland.
AFP

Herzogenaurach, Jerman: Keputusan seri 1-1 dengan Switzerland pada aksi terakhir peringkat kumpulan menjadi pengajaran berharga buat Jerman menjelang pertembungan dengan Denmark dalam saingan kalah mati Euro 2024, awal pagi Ahad ini.

Selepas sedekad hambar di kejohanan utama, keyakinan Jerman meningkat selepas memulakan kejohanan dengan menewaskan Scotland dan Hungary.

Namun mereka kembali tidak konsisten ketika berdepan Switzerland dan hampir tewas sebelum tandukan minit akhir Niclas Fuellkrug menyamakan kedudukan untuk kekal selaku pendahulu kumpulan.

Keputusan itu menjadi iktibar kepada tuan rumah ketika penyokong mereka yang mengimpikan trofi Eropah keempat selain isyarat kepada jurulatih Julian Nagelsmann ada banyak ruang perlu diperbaiki.

Bekas pemain Berti Vogts yang mengendalikan Jerman ketika tewas mengejut di tangan Denmark pada final 1992 mengakui pemainnya memandang mudah kemampuan lawan dan tidak mahu skuad kendalian Nagelsmann menerima nasib sama.

"Pada 1992 kami tewas di final Euro menentang Denmark walaupun kami pasukan pilihan sama seperti pasukan Jerman sekarang," katanya kepada media. "Semua orang yakin gelaran milik kami. Malah pemain juga terlalu yakin dengan ramalan itu."

"Denmark laparkan kejayaan. Mereka tiada tekanan dan mengejutkan kami dan kami pula memandang mudah kemampuan mereka.

"Skuad Jerman sekarang tidak boleh melakukan kesilapan sama. Aksi menentang Switzerland perlu dijadikan pengajaran."

Jerman hanya menang tiga daripada 11 perlawanan pada 2023 tetapi masih belum tewas tahun ini apabila menang lima kali dan seri dua kali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 11:01 AM