PEKERJA dibawa keluar melalui bumbung kilang sebelum dibawa turun menggunakan tangga. FOTO ihsan Bomba
PEKERJA dibawa keluar melalui bumbung kilang sebelum dibawa turun menggunakan tangga. FOTO ihsan Bomba
Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: Tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan berjaya menyelamatkan 20 pekerja kilang yang terperangkap dalam kebakaran di kilang plastik di Pengkalan Chepa, hari ini.

Dalam kejadian 3 pagi itu, dua pekerja warga Nepal melecur seluruh badan manakala dua lagi mengalami kecederaan ringan ketika cuba menyelamatkan diri.

Manakala 16 lagi pekerja lain membabitkan enam lagi warga Nepal dan 10 warga Myanmar tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan Azmi Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.04 pagi sebelum 45 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dengan bantuan tambahan dari BBP Kota Bharu, Tunjung dan Pasir Tumboh.

Katanya, sebaik tiba lokasi kejadian bahagian belakang kilang itu sudah 40 peratus terbakar.

"Pada masa yang sama 20 pekerja berada di dalam kilang berkenaan. Tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan semua pekerja yang dibawa keluar melalui bumbung kilang sebelum dibawa turun menggunakan tangga.

"Dua pekerja melecur hampir seluruh badan manakala dua lagi melecur ringan sebelum dikejarkan ke HUSM untuk rawatan lanjut.

"Kami mengambil masa hampir empat jam untuk memadamkan api," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya punca kejadian dan anggaran keseluruhan kerugian masih dalam siasatan.

Operasi diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa Mohd Fakri Mazlan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2017 @ 12:08 PM