JOKOWI (kanan) bersama pemimpin dunia lain ketika mesyuarat Ekonomi APEC di Beijing, kelmarin.
JOKOWI (kanan) bersama pemimpin dunia lain ketika mesyuarat Ekonomi APEC di Beijing, kelmarin.
Agensi

Jakarta: Presiden Joko Widodo (Jokowi) semalam dinasihatkan supaya tidak besar kepala melihat kepada ramainya pemimpin dunia yang ingin menemuinya.

Nasihat itu disuarakan oleh Dekan Fakulti Undang-Undang Antarabangsa Universitas Indonesia, Hikmahanto Juwana.

Menurut Hikmahanto, sebagai pemimpin baru, sudah pasti ramai ketua negara lain yang hendak bertemu dan berkenalan.

Bagaimanapun, menurutnya, keinginan itu kemungkinan untuk menandakan hasrat mereka supaya negara mereka tidak diganggu atau masalah yang wujud antara Indonesia dengan negara mereka tidak diburukkan lagi.

Hikmahanto berkata demikian ketika dihubungi VIVAnews kelmarin bagi mengulas mengenai pertemuan Jokowi dengan tokoh pemimpin dunia sempena sidang kemuncak APEC di Beijing.

Hikmahanto juga berkata, Jokowi seharusnya mengambil kesempatan dengan popularitinya dengan melaksanakan dua perkara bagi kepentingan Indonesia. Pertama, menceritakan mengenai demokrasi di negara itu dan kedua untuk menyatakan mengenai kedewasaan demokrasi Indonesia.

“Jokowi perlu menjual kepada media dan masyarakat antarabangsa mengenai dua kejayaan Indonesia itu,” katanya.

Minggu lalu, ketika berucap di majlis Alumni Gajah Mada di Kendari, Sulawesi Tenggara, Jokowi berkata, beberapa pemimpin kerajaan turut menyuarakan hasrat untuk bertemu dengannya.

“Saya inikan orang baru di APEC. Cuba bayangkan Presiden Putin (Vladimir Putin, Russia) berkata dia ingin menemui saya.

“Dia yang ingin menemui saya, bukan saya yang ingin menemuinya,” kata Jokowi dengan bangga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:12 AM