PELAJAR berdiri di atas sebuah lori tangki minyak ketika menunjuk perasaan di luar universiti di Makkasar, Sulawesi Selatan kerana membantah rancangan kerajaan Indonesia mengurangkan subsidi bahan bakar itu, semalam.
PELAJAR berdiri di atas sebuah lori tangki minyak ketika menunjuk perasaan di luar universiti di Makkasar, Sulawesi Selatan kerana membantah rancangan kerajaan Indonesia mengurangkan subsidi bahan bakar itu, semalam.
Agensi

Kendari: Presiden Joko Widodo (Jokowi) berkata, beliau bersedia untuk tidak popular kerana bertindak untuk menaikkan harga minyak.

Bercakap di hadapan Alumni Universitas Gajahmada (KAGAMA) di Hotel Grand Clarion, Kendari, Sulawesi Tenggara, kelmarin, pemimpin Indonesia itu mengaku beliau berdepan dengan risiko mengenai langkah berkenaan.

Bagaimanapun, menurut Jokowi, tindakan menaikkan harga minyak itu yang akan dilakukan dalam masa terdekat ini, adalah penting bagi ekonomi negara.

“Ada yang memberi amaran saya tidak akan popular. Tetapi saya menjadi pemimpin bukan untuk popular.

“Pemimpin harus berani untuk membuat keputusan bagi kebaikan negara dan rakyat. Tidak kira jika keputusan itu menyebabkan saya tidak popular.

“Tidak kiralah jika kemungkinan rakyat akan mengadakan demonstrasi membantahnya, kata Jokowi.

Katanya, jika tindakan itu tidak dilakukan,selama lima tahun akan datang kerajaan terpaksa menanggung subsidi minyak menjangkau perbelanjaan untuk infrastruktur dan perbelanjaan untuk kesihatan.

“Saya ingin menyedarkan kepada rakyat Indonesia. Yang tidak betul perlu kita betulkan,” katanya.

Menurutnya, penjimatan daripada pegurangan subsidi itu akan disalurkan untuk pembangunan negara, termasuk pertanian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:05 AM