FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Malaysia berhasrat menggunakan kesempatan Mesyuarat ke-30 Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bermula esok ini untuk mengetengahkan situasi di Palestin bagi meraih sokongan global.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, ia termasuk akses kemanusiaan dan penyelesaian yang adil terhadap konflik di Asia barat yang sudah berlarutan sejak 75 tahun itu.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat ke-30 APEC yang berlangsung di San Francisco, California, Amerika Syarikat (AS) sehingga Jumaat ini.

"Perdana Menteri turut mengambil peluang (di APEC) untuk berkongsi keutamaan dan prinsip Malaysia di bawah Rangka Kerja Ekonomi MADANI, menekankan keterangkuman, pembangunan mampan dan kerjasama untuk kemakmuran bersama," katanya.

Katanya, penyertaan Malaysia dalam APEC adalah komitmen berterusan negara untuk mengukuhkan kerjasama dan meningkatkan kemakmuran ekonomi serta memupuk pembangunan yang saksama dan inklusif untuk semua.

Ketika di San Francisco juga katanya, Perdana Menteri dijadual mengetuai delegasi Malaysia ke Dialog Tidak Rasmi Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC bersama Tetamu, iaitu Pemimpin Colombia, Fiji dan India; Dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) dengan Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC dan Sidang Kemuncak Ketua-ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC 2023.

"Penglibatan dalam acara ini akan menjadi peluang kepada Perdana Menteri menyatakan perspektif Malaysia mengenai ekonomi global semasa dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau yang mendesak dengan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang berpengaruh, usahawan dan pemimpin APEC.

"Perdana Menteri akan menyertai Mesyuarat Kedua Pemimpin-pemimpin Kerangka Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF)," katanya turut memaklumkan Perdana Menteri turut dijadual mengadakan pertemuan secara individu dengan pemimpin-pemimpin perniagaan terkemuka Amerika, di sela-sela Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM).

"Mesyuarat ini bertujuan untuk memuktamadkan pelaburan bernilai tinggi yang akan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi di Malaysia, selaras dengan strategi dan objektif yang digariskan dalam Rangka Kerja Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Nasional 2030 (NIMP 2030).

"Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC untuk meneroka cara untuk mengukuhkan lagi kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang demi manfaat bersama," katanya.

Turut bersama dalam delegasi Malaysia, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil serta pegawai kanan kerajaan.

Bertemakan 'Membina Masa Depan yang Berdaya Tahan dan Mampan untuk Semua, APEC 2023 dijangka akan membincangkan secara mendalam mengenai topik yang berpusat kepada pengukuhan hubungan ekonomi; meningkatkan keterangkuman dan kemampanan serta mengukuhkan daya tahan dan kerumitan ekonomi.

Mengulas lanjut katanya, Perdana Menteri juga dijadual menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara syarikat BlackBerry dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kerjasama keselamatan siber.

"Dalam rangka lawatan itu, Perdana Menteri akan menyampaikan syarahan umum kepada pelajar dan sarjana di Universiti California, Berkeley, memfokuskan kepada 'Superpower Rivalry and Rising Tensions in the Asia-Pacific – The View from Southeast Asia.

"Dalam memberikan gambaran keseluruhan keadaan geopolitik, Perdana Menteri akan menyentuh tentang demokrasi, kebebasan berperlembagaan dan Islamofobia. Sebelum pulang ke Malaysia, Perdana Menteri akan menghoskan majlis makan malam dengan diaspora serta pelajar-pelajar Malaysia di San Francisco," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2023 @ 12:57 PM