ANWAR, gambar fail. FOTO Bernama
ANWAR, gambar fail. FOTO Bernama
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual bertemu dengan pengurusan tertinggi syarikat teknologi terkemuka ketika menghadiri sidang Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, California, Amerika Syarikat (AS) bermula Selasa ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, pihaknya mengatur pertemuan bersama pihak pengurusan tertinggi Google, Enovix, Microsoft dan TikTok di luar acara Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) dengan kehadiran Perdana Menteri di San Francisco.

"Mesyuarat itu bertujuan untuk memuktamadkan pelaburan berpotensi yang bakal mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi di Malaysia.

"Ia adalah selaras dengan strategi dan objektif digariskan dalam Rangka Kerja Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, kementeriannya akan memudahkan kehadiran Perdana Menteri di AELM ke-30 yang bertemakan 'Mewujudkan Ketahanan dan Masa Depan Mampan untuk Semua' dari 14 hingga 17 November ini.

Menurutnya, Perdana Menteri akan mengetuai delegasi Malaysia dengan diiringi oleh beliau, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan pegawai kanan kerajaan.

"Kehadiran Perdana Menteri mencerminkan cadangan pembabitan aktif Malaysia pada AELM sekali gus menyumbang ke arah usaha menangani isu kritikal di peringkat serantau terutama di Asia Pasifik.

"Perdana Menteri juga akan mengetuai delegasi Malaysia di Dialog Ekonomi Tidak Rasmi Pemimpin dengan Tetamu APEC iaitu pemimpin Colombia, Fiji dan India; Dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) dengan Pemimpin Ekonomi APEC dan Pemukiman Pemimpin Ekonomi APEC.

"Acara itu akan bertindak sebagai peluang kepada Perdana Menteri untuk menyatakan perspektif Malaysia mengenai ekonomi global semasa dan bertukar pandangan mengenai isu serantau yang mendesak dengan pemimpin APEC, ketua pegawai eksekutif (CEO) berpengaruh dan usahawan berjaya," katanya.

Di luar acara AELM, Tengku Zafrul akan mengiringi Perdana Menteri ke Mesyuarat Pemimpin Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) Kedua pada 16 November ini.

IPEF adalah rangka kerja kerjasama 14 negara di Indo-Pasifik yang ditubuhkan di bawah pentadbiran Presiden Joseph Biden untuk menangani jangka panjang isu ekonomi.

Ia juga membolehkan rakan kongsi bertindak balas dengan pantas dan seiring dengan cabaran dan peluang global baharu.

Anwar juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya untuk mengukuhkan hubungan dua hala, bertukar-tukar idea untuk meningkatkan ekonomi integrasi dalam kalangan Ekonomi APEC.

Ia juga bagi membincangkan mengenai bagaimana perdagangan dan pelaburan boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian dalam mengimbangi kesan geopolitik dan kerumitan geoekonomi.

⁃ ends

From: No'Rule

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2023 @ 5:54 PM