GREEN Beret tampak garang biarpun dipenuhi komponen asal.
GREEN Beret tampak garang biarpun dipenuhi komponen asal.
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Jentera lama yang menjadi pilihan ruangan Modifikasi kali ini adalah Toyota KE30 yang sudah diubah suai untuk sukan drift.

Kereta yang digelar ‘Green Beret’ (pasukan tentera gerakan khas) milik Yuswandy Hamid, 39, itu kini sudah pun berusia 42 tahun dengan memberi kuasa baru selepas menggunakan rangkaian kuasa Nissan Silvia iaitu SR20 S15 bersesaran 2,000 cc.

Penukaran enjin itu bukan semata-mata untuk memberi kelajuan, sebaliknya untuk memudahkan melakukan aksi dalam sukan permotoran drift.

Green Berret yang kini memiliki hampir 220 kuasa kuda (hp) dan kuasanya dihantarkan ke pacuan roda belakang sekali gus memberi aksi yang cukup mengagumkan.

Boleh dikatakan, semua suspensi asal jentera itu sudah dibuang dan digantikan komponen Nissan Silvia yang mana ia sangat bersesuaian untuk melakukan aksi itu. Seperti kenderaan lumba yang lain, sudah semestinya jentera berkenaan perlu dilengkapi beberapa ciri keselamatan.

Justeru itu kerangka besi dipasang pada ruang dalamannya untuk memberikan tahap keselamatan maksimum kepada pemandunya.

Bagi memastikan jentera ini bertahan ketika beraksi, sebuah tangki minyak tambahan ditempatkan pada ruangan tempat duduk belakang jentera yang sudah ditanggalkan sepenuhnya.

Pada ruangan kokpit pula, sistem brek tangan dan tombol gear turut diubah suai bagi melancarkan sistem kawalan jentera itu ketika beraksi di litar.

Malah, ruang berkenaan menggunakan tempat duduk jenama Recaro serta stereng daripada model Toyota Levin menaikkan lagi imej Green Beret sebagai jentera drift.

Selain itu, roda hadapan pula diubah suai kepada ‘tayar kangkang’ untuk memberikan kestabilan pada jentera berkenaan.

Walaupun mengalami banyak perubahan demi peningkatan, kereta itu masih mengekalkan banyak komponen asal termasuk bampar, dapra, meter kelajuan, lampu dan sebagainya.

Pemilik juga aktif dalam sukan drift dan kerap menjadikan Stadium Batu Kawan sebagai litar latihan, namun turut terbabit dalam autoshow terutama di utara tanah air.

Green Beret kerap mencuri tumpuan apabila menyertai autoshow, malah pernah beberapa kali mengungguli tempat pertama dalam pertandingan itu.

SPESIFIKASI:

Model: Toyota KE30 keluaran 1973

Enjin: Nissan Silvia SR20 S15

Modifikasi:

- Suspensi Nissan Silvia

- Kerangka besi keselamatan

- Tangki minyak tambahan

- Stereng Toyota Levin

- Tempat duduk Recaro

- Brek dan gear tempahan khas

- Cat hijau

Kos: RM 18,000

Kejayaan: Oldskool Terbaik di Taiping; OldSkool Terbaik di Bukit Merah; Penampilan jentera lumba terbaik di Batu Kawan dan di Pulau Pinang

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2015 @ 5:00 AM