KEKAL unik.
KEKAL unik.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Kereta sedan keluarga yang dihasilkan syarikat Toyota pada 1966 menerusi model Corolla menjadi kenderaan terlaris di dunia dengan jualan keseluruhan melebihi 40 juta unit sehingga 2013.

Model itu sebenarnya tidak hanya dihasilkan di Jepun, sebaliknya turut menembusi pasaran Amerika Syarikat, Kanada, Afrika Selatan, Thailand dan beberapa negara lain.

Berikutan popularitinya yang kian ‘merebak’ bagi peminat kereta lama, ruang Modifikasi kali ini menampilkan model legenda Toyota Corolla KE70DX milik seorang pembantu pembedahan pergigian di Nibong Tebal, Pulau Pinang apabila jenteranya tidak sahaja memiliki imej menawan, malah dijanakan enjin kapasiti besar.

Pemiliknya Md Yazid Ghazali, 29, berkata jentera itu memilik hampir separuh aksesori serta enjin daripada Nissan Silvia S15.

Menurutnya, jentera keluaran 1982 itu kini memiliki enjin bersesaran 2,000cc selepas menggunakan rangkaian kuasa SR20DE.

Enjin itu kini memiliki kuasa maksimum sehingga 230hp dan mampu mencapai kelajuan melebihi 180 kilometer sejam (km/j).

Keunikan jentera ini bukan sahaja pada enjinnya, tetapi penampilan aksesori luaran asli yang masih dijaga rapi. Sudut luaran tampil bergaya dengan warna biru kehijauan yang dilengkapi aksesori asal krom membabitkan bampar depan dan belakang serta cermin sisi.

Selain itu penambahan kit badan binaan khas pada bampar hadapan turut menyerlahkan lagi jentera ini. Namun, antara komponen paling unik dan sukar diperoleh adalah jeriji lampu Hella dari Australia yang mencecah harga hampir RM1,000.

Ia tampak bergaya dengan padanan rim bersaiz 15 inci Borbet Staggered serta bunyi ekzos lebih garang selepas menggunakan produk 5Zigen. Jika melihat di bahagian dalaman­nya, ruangan pemanduan keseluruhannya menggunakan komponen Nissan Silvia membabitkan papan permukaan, stereng, meter kelajuan, pedal minyak, klac dan brek kaki.

Bagi menyerlahkan lagi ruangan dalaman gaya ala kereta lumba, dua kerusi bucket jenama Bride dan Recaro digunakan, selain itu tiga meter tambahan menyerikan bahagian papan pemanduan.

Kuasa hentiannya dijanakan oleh sistem brek empat pot 14 inci pada bahagian hadapan, manakala belakang menggunakan komponen daripada Toyota Corona TT 141.

Kestabilan jentera ditingkatkan dengan suspensi daripada Nissan Silvia pada bahagian hadapan serta bahagian belakang menggunakan produk TRD.

Jentera yang menelan belanja proses ubah suai mencecah sehingga RM25,000 itu sebenarnya dibeli dari kedai besi buruk dengan harga RM800 sahaja.

INFO

TOYOTA COROLLA KE70DX

Ubah suai enjin:

• Enjin Silvia S15 SR20DE

• Aci sesondol Nismo

• Unit Kawalan Elektronik E-Manage

Ubah suai dalaman:

• Papan permukaan Nissan Silvia S15

• Stereng Nissan Silvia S15

• Meter kelajuan Nissan Silvia S15

• Kerusi Bucket Recaro dan Bride

Ubah suai luaran:

• Ekzos 5Zigen

• Rim 15 inci Borbet Staggered

• Suspensi Nissan Silvia S15 (hadapan) dan TRD (belakang)

• Jeriji lampu Hella Australia

• Kit badan asal

• RM 25,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2016 @ 5:00 AM