TOYOTA Celica generasi pertama.
TOYOTA Celica generasi pertama.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Toyota Celica adalah jentera kategori sport coupe yang dikeluarkan Toyota Motor Corporation antara 1970 sehingga 2006.

Dalam tempoh 36 tahun itu, ada tujuh generasi Toyota Celica yang berada di pasaran global dan lebih 4.1 juta unit sudah dijual.

Pada 1970, Celica TA22 adalah generasi pertama yang dilancarkan sebelum digantikan generasi kedua selepas lima tahun kemudian.

Di Malaysia, kewujudan Toyota Celica generasi pertama agak terhad berbanding model Toyota yang lain.

Justeru, seorang kontraktor dari Kuala Lumpur, Jay Cee Chan, 24, menye­dari jentera itu sangat bernilai dan tidak kisah membelanjakan RM3,000 untuk kos penghantaran jentera berkenaan yang dibeli dari seorang rakan di Sabah.

Jentera keluaran tahun 1973 itu ditemui di program Art Of Speed (AOS) baru-baru ini menerima sentuhan kit badan lebar atau ‘wide body’ serta dijanakan enjin berkuasa tinggi sekali gus menjadikan ia berbeza.

Ia juga tampil berbeza apabila ditambah dengan aksesori binaan khas terutama pada bahagian bampar hadapan seperti ‘sekop’ serta dilengkapi spoiler kustom. Malah, ia tampil gah apabila padanan set sport BBS bersaiz 18 inci untuk tampak bergaya.

Ruangan dalaman pula masih menggunakan komponen asal yang dibaik pulih serta diceriakan dengan kerusi balutan kulit biru dan hitam bagi menyesuaikan konsep jentera berkenaan.

Keunikan jentera ini adalah di bawah bonet hadapannya. Ini kerana jentera yang asalnya itu menggunakan enjin bersesaran 1,600 cc, tetapi kini dinaik taraf dengan rangkaian kuasa Nissan Silvia S14 atau SR20DET.

Enjin itu juga dipertingkatkan dengan menukar omboh bersaiz 87 milimeter (mm) serta kepala silinder dinaik taraf melalui proses bersih dan kilat.

Bagi melengkapkan lagi proses ubah suai enjin itu, Turbo Standart AR 60 turut digunakan dan digandingkan Wastegate External Turbo Smart 38 mm.

Sistem sejukan enjin itu dibantu oleh intercooler Apexi, selain ekzos ditingkatkan dengan saluran terus sebelum dipadankan peredam bunyi binaan khas bersaiz lima inci bagi menyalurkan bunyi lebih garang.

Kestabilan kenderaan pula dibantu oleh suspensi khas yang ditempah khas serta menggunakan sistem brek cakera Nissan Silvia bagi memberi kuasa hentian lebih baik.

INFO

TOYOTA CELICA TA22ST KELUARAN 1973

- Ubah suai enjin:

• Enjin SR20DET Turbo

• Turbo Standart AR60

• Wastegate External Turbo Smart 38 mm

• Omboh 87 mm

• Intercooler APEXi

- Ubah suai luaran dan dalaman:

• Suspensi binaan khas

• Brek Nissan Silvia

• Rim 18 inci BBS

• Ekzos tempahan khas

• Kit badan lebar

• Spoiler tempahan khas

- Kos modifikasi:

• RM 25,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2016 @ 5:01 AM