NISSAN Silvia S14A digilai kaki kereta.
NISSAN Silvia S14A digilai kaki kereta.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Sejak meletusnya kegilaan drift dalam sukan permotoran dunia, jentera coupe bernadikan enjin turbo dan kuasa pecutan pacuan roda belakang mula diburu peminat.

Salah satu jenama yang tidak terlepas pandang daripada peminat sukan drift adalah Nissan Silvia. Bermula daripada varian S13 hinggalah generasi terakhir Silvia S15, ia pasti menjadi buruan berikutan bukan saja berkuasa, malahan rupa luaran yang menggoda.

Varian S14 yang bernadikan enjin SR20DET Turbo 2,000cc adalah antara jentera sanjungan kaki kereta yang mahukan kelajuan sebagai motif utama.

Di negara ini, model Silvia memasuki pasaran dalam versi ‘reconditioned’ dan ada sesetengah pemilik membelinya dalam keadaan ‘terpakai’. Antara mereka, ahli perniagaan di Pulau Pinang, David Chansc, 32, yang menggunakan jentera miliknya bagi urusan seharian.

Biarpun dalam keadaan asal, tidak bererti pemiliknya tidak menitikberatkan soal penyelenggaraan enjin dan sebagainya. Jentera yang sedia maklum sangat berkuasa ini ditambah sedikit aksesori bagi memantapkan lagi kuasanya.

Enjin SR20DET Turbo yang memiliki 270hp ini disejukkan dengan Intercooler Greddy bersama piping dan hos berjenama sama.

Puncak kuasanya terserlah apabila Turbin Garret AR70 Turbo dilaraskan bersama ‘blow-off’ dan wastegate HKS 60mm. Pelbagai komponen lain dipasang seperti Cusco Tower Bar, Ogura Clutch Twin Plate, Greddy Boost Controller dan sebagainya.

Keseimbangan jentera dikawal penyerap hentak boleh laras GAB.

Sebagai kereta yang terkenal dalam dunia perlumbaan drift, sudut dalaman jentera diusik sedikit dengan padanan sepasang kerusi bucket Recaro. Penambahan beberapa aksesori seperti meter masa Blitz, meter Boost HKS, stereng Nardi, pedal dan tombol gear Razo menjadikan jentera tampil bergaya.

Bahagian luaran pula seperti kit badan asal termasuk spoiler dikekalkan, namun pada bahagian hadapan menggunakan model Silvia S14A Kouki yang lebih sporty. Jentera lebih bergaya dengan padanan rim Advan Racing 17 inci putih menyamai warna jentera.

Menurut pemilik yang juga ahli kelab Autowerks, dia lebih mempercayai hasil kerja tangan Shifter Autocraft berbanding bengkel lain berikutan tenaga kerjanya berpengalaman dalam membaiki dan menaik taraf enjin berkuasa turbo.

INFO

NISSAN SILVIA S14A

• Enjin: SR20DET Turbo 270hp (kuasa kuda)

• Turbo: Garret AR70

• Intercooler: Greddy

• Hos: Greddy

• Wastegate: HKS 60mm

• Piping: Greddy

• Tower Bar: Cusco

• Plat klac: Ogura (berkembar)

• Suspensi: GAB

• Kit badan dan spoiler: Nissan Bampar, but dan dapra hadapan: Silvia S14 Kouki

• Kerusi: Recaro (bucket)

• Meter masa: Blitz

• Boost meter: HKS

• Stereng: Nardi

• Tombol gear dan pedal: Razo

• Rim: Advan Racing (17 inci)

• Kelab: Aotowerks

• Bengkel: Shifter Autocraft

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2017 @ 12:42 AM