GAMBAR wanita memijak gambar Najib dan Hadi Awang yang menjadi viral di laman sosial.
GAMBAR wanita memijak gambar Najib dan Hadi Awang yang menjadi viral di laman sosial.
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Dua individu masing-masing lelaki berusia 21 tahun dan remaja perempuan berusia 14 tahun menyerah diri di Bukit Aman, hari ini, bagi membantu siasatan insiden memijak gambar pemimpin pada perhimpunan haram baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, individu berkenaan menyerah diri pada 11 pagi tadi bagi membantu siasatan.

"Siasatan mendapati lelaki berkenaan sebagai penyelia di tapak pembinaan manakala perempuan terbabit adalah pelajar sekolah," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Jumaat lalu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan ganjaran wang kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung tindakan dua individu yang memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada perhimpunan haram itu.

Ganjaran itu ditawarkan selepas suspek gagal menyerah diri selepas diminta berbuat demikian bagi membantu siasatan pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 6:26 PM