Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan ganjaran kewangan kepada sesiapa yang memberi maklumat sehingga tertangkapnya individu yang memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada perhimpunan haram baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata, sehingga kini individu yang terbabit dalam memijak gambar dua pemimpin berkenaan gagal tampil bagi membantu siasatan polis selepas diminta berbuat demikian.

"PDRM memandang berat perbuatan ini kerana ia mewujudkan suasanan tegang sehingga membangkitkan ketidak tenteraman awam di kalangan masyarakat.

"Polis harus mengambil tindakan mengikut undang-undang bagi memastikan perkara ini tidak mencetuskan tindak balas mana-mana pihak yang akhirnya akan menjejaskan keselamatan awam," katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu terbabit diminta tampil bagi membantu siasatan pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2015 @ 10:03 PM