OTONIEL ketuai geng penyeludupan dadah terbesar di Colombia. FOTO EPA/National Police of Colombia
OTONIEL ketuai geng penyeludupan dadah terbesar di Colombia. FOTO EPA/National Police of Colombia
Agensi

Bogota: Raja dadah, Dairo Antonio Usuga David atau lebih dikenali sebagai Otoniel diberkas pihak berkuasa Columbia, kata kerajaan negara itu pada Sabtu.

Pengumuman itu menyaksikan kejatuhan seorang lelaki yang berasal dari keluarga miskin sebelum bertukar menjadi individu paling dikehendaki di Columbia.

Sejak 2012, Otoniel yang mengetuai geng penyeludupan dadah terbesar negara itu, Gulf Clan sering meloloskan diri daripada ditahan pihak berkuasa.

Sebelum ini, 1,000 anggota penguat kuasa memburunya dan ganjaran berjumlah AS$5 juta (kira-kira RM20 juta) ditawarkan untuk penangkapan lelaki itu.

Ganjaran ditawarkan pada 2009 itu dibuat Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) yang menganggap geng berkenaan sebagai kumpulan penjenayah bersenjata, ekstrem dan organisasi keganasan.

Menurut laman web jabatan itu, kumpulan berkenaan mampu mengawal laluan penyeludupan dadah menggunakan bot laju dan mengatur tempat pendaratan bahan terlarang itu.

Presiden Ivan Duque menganggap penahanan Otoniel sama seperti kejatuhan Pablo Escobar yang terbunuh dalam serangan dengan polis Colombia pada 1993.

Otoniel yang dilahirkan pada 15 September 1971 di Necocli adalah anak ketujuh daripada sembilan beradik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 6:45 AM