BIN Shen (dua dari kanan) dan Rexy Mainaky bergambar bersama Aaron dan Wooi Yik selepas final Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, baru-baru ini. - FOTO INSTAGRAM TAN BIN SHEN
BIN Shen (dua dari kanan) dan Rexy Mainaky bergambar bersama Aaron dan Wooi Yik selepas final Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, baru-baru ini. - FOTO INSTAGRAM TAN BIN SHEN
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik diingatkan tidak leka dengan limpahan ganjaran wang ringgit diperoleh mereka selepas muncul juara dunia pertama negara di Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, bulan lalu.

Jurulatih beregu negara, Tan Bin Shen berkata, kedua-dua anak buahnya itu perlu menguruskan ganjaran yang diperoleh mereka dengan sebaik-baiknya.

"Saya rasa mereka pun faham bukan senang untuk dapat semua duit ini. Jika mereka tak menang Kejohanan Dunia, pasti mereka tidak dapat semua ini.

"Aaron-Wooi Yik harus sentiasa ingat kerja keras dan proses yang mereka lalui sebelum bergelar juara dunia. Jadi sekarang adalah masa untuk mereka dihargai dan pada masa sama, mereka perlu pandai menguruskan ganjaran yang diperolehi.

"Jangan pula bila sudah bekerja keras dan dapat segala ganjaran termasuk duit, mereka tidak mahu berusaha lagi. Bagi saya, mereka perlu terus bekerja keras," katanya.

Semalam, beregu negara yang menduduki ranking kelima dunia itu memperoleh insentif permulaan keseluruhan bernilai setengah juta atau RM250,000 setiap seorang.

Ganjaran terkumpul itu adalah RM300,000 daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta masing-masing RM100,000 yang diberikan oleh penaja, Yonex serta minuman isotonik, 100Plus.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, beregu negara itu bakal menerima insentif lebih banyak lagi selepas ini seperti pernah diumumkan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Aaron-Wooi Yik yang mula digandingkan pada 2017, menundukkan beregu berpengalaman dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14 dalam aksi final, bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2022 @ 6:09 PM