Mohd Sabran Md Sani


SEORANG daripada tujuh individu yang wajah mereka dirakam dalam satu klip video tular berhubung rusuhan kecil di Surau Austin Perdana di Johor Bahru, Jumaat lalu, sudah tampil menyerah diri bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, lelaki berusia 22 tahun itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah JBS, 10 malam semalam.

"Setakat ini hanya seorang tampil memberikan kerjasama bagi membantu siasatan kes ini.

“Usaha mengesan baki enam yang lain terus dilakukan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Polis sebelum ini meminta tujuh individu yang dikenal pasti menerusi rakaman video tampil menyerah diri bagi membantu siasatan.

Tujuh lelaki berusia antara 20 hingga 50 tahun itu dipercayai penduduk di sekitar kawasan berkenaan.

Jumaat lalu, kekecohan berlaku apabila pemandu sebuah kereta membunyikan hon ketika jemaah sedang solat Jumaat.

Susulan insiden itu, empat lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2017 @ 4:16 PM