GERRARD (kiri), Sterling mungkin turun berdepan Chelsea.
GERRARD (kiri), Sterling mungkin turun berdepan Chelsea.

London: Semua mata akan kepada kesebelasan pilihan pengurus Liverpool, Brendan Rodgers apabila mereka cuba menamatkan permulaan tanpa kalah pendahulu Liga Perdana Inggeris, Chelsea, malam esok.

Rodgers dilihat berkorban bagi pertemuan Liga Juara-Juara menentang Real Madrid awal pagi Rabu lalu apabila mengetepikan pemain seperti Raheem Sterling dan Steven Gerrard ke bangku simpanan ketika pasukannya kecundang 0-1.

Kebanyakan pemerhati berasa Rodgers lebih memikirkan pertemuan gelanggang sendiri menentang Chelsea sekali gus menghidupkan semula peluang Liverpool mencabar kejuaraan domestik di sebalik perubahan itu.

Kekalahan 0-1 di tangan Newcastle hujung minggu lalu menyebabkan Liverpool menghuni tangga ketujuh, 12 mata di belakang Chelsea yang menang lapan dan seri dua perlawanan setakat ini.

Ketika ia dilihat sebagai satu jurang besar, Liverpool hanya berada tiga mata di belakang pasukan tangga keempat Arsenal dan impian berakhir dalam kelompok empat teratas dan kelayakan ke Liga Juara-Juara menjadi keutamaan.

"Tanpa mengambil kira perlawanan Chelsea, kami memilih pasukan untuk cuba meraih keputusan malam ini," jelas Rodgers selepas kekalahan di Madrid menyebabkan peluang Liverpool mara ke peringkat kalah mati semakin tipis.

"Bagi mereka yang tidak bermain malam ini, tidak semestinya mereka akan beraksi menentang Chelsea."

Pengurus Chelsea Jose Mourinho mempunyai pendapat sendiri mengenai keputusan Rodgers.

"Biasanya, menentang lawan paling sukar, saya akan cuba menurunkan pasukan terbaik," katanya sebelum pasukannya seri 1-1 dengan Maribor dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi semalam.

"Tapi siapa tahu? Liverpool mungkin bermain secara fantastik dan menang serta pemain berada dalam keadaan terbaik untuk menentang Chelsea."-Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 5:01 AM