Liverpool: Pemain tengah Liverpool Joe Allen yakin pengurus Brendan Rodgers mampu menangani kritikan yang sedang melanda pasukannya.

Skuad kendalian Rodgers menamatkan rentetan empat kekalahan berturut-turut apabila seri 2-2 ketika menentang Ludogorets Razgrad dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi Khamis.

Daripada satu sudut, ia mungkin bermaksud Liverpool gagal apabila mereka tidak berupaya mempertahankan kelebihan sebaliknya memberi ruang kepada lawan untuk menyamakan kedudukan menerusi gerakan set-piece yang menjadi kelemahan utama Reds musim ini.

Tetapi, satu mata yang diperoleh di Bulgaria bermakna Liverpool perlu menang di Anfield pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan jika mahu melangkah ke peringkat kalah mati saingan Eropah itu.

Perkara ini diambil positif oleh Rodgers, walaupun beliau sedar pasukannya perlu menang semua tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris bagi melonjakkan semangat sebelum menerima kunjungan Basel pada 9 Disember. Pada masa sama, mereka perlu memastikan kedudukan di tangga ke-12 liga dapat diperbaiki.

Stoke yang mengumpul satu mata lebih di tangga ke-11, bertandang ke Anfield malam ini sebelum Liverpool berdepan Leicester dan Sunderland.

Rodgers memerlukan keputusan positif sebelum ke Liga Juara-Juara, sekali gus menolak semua spekulasi negatif mengenai masa depannya.

Tetapi, Allen tegas mengatakan pengurus itu mampu mengatasi semua tekanan dan yakin pemain akan tetap komited membantu memperbaiki imej pasukan.

“Brendan akan mengatasi semua masalah itu. Beliau tidak akan bergelar pengurus Liverpool jika tidak boleh menangani masalah,” kata Allen.

“Beliau mendapat sokongan semua pemain dan beliau sedar dengan perkara itu. Terpulang kepada pemain untuk mengubah keadaan sekarang.

“Sebagai pemain profesional, anda sering berdepan tekanan dan jangkaan tinggi.

“Permulaan musim tidak memihak kepada kami, tetapi saya yakin kami mempunyai kebolehan serta kualiti untuk mengubahnya.”

Penyerang Reds, Mario Balotelli masih lagi belum cergas sepenuhnya selepas tidak beraksi pada dua pertemuan akibat kecederaan pangkal paha manakala Rodgers juga berdepan dilema untuk memilih pemain yang akan diturunkan malam ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:03 AM