SAFAWI (kanan) berharap rakan sepasukan melupakan seketika kelebihan empat gol ke atas Sabah FC menjelang perlawanan suku akhir kedua, malam esok. FOTO GHAZALI KORI
SAFAWI (kanan) berharap rakan sepasukan melupakan seketika kelebihan empat gol ke atas Sabah FC menjelang perlawanan suku akhir kedua, malam esok. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain sayap Terengganu FC (TFC), Safawi Rasid mahu melupakan seketika kelebihan empat jaringan apabila turun berdepan Sabah FC di suku akhir kedua Piala FA di Stadium Likas, malam esok.

Pemain kebangsaan itu menegaskan, ia bagi memastikan dia dan rakan sepasukannya tidak 'tertidur' dengan kemenangan berharga 4-0 pada aksi suku akhir pertama dalam misi melangkah ke separuh akhir saingan Piala FA itu.

"Empat gol bukanlah jaminan 100 peratus layak ke separuh akhir saingan itu, sebaliknya ia penuh dengan laluan berliku kerana masih berbaki 90 minit lagi pada aksi suku akhir kedua.

"Selain itu kami tidak tahu corak permainan bakal diperagakan pemain lawan terutama beraksi di tempat mereka dengan sudah pasti sokongan ribuan peminat setianya.

"Jadi saya harapkan rakan sepasukan beraksi seperti biasa bagi mengelak tekanan serta anggaplah perlawanan itu masih 0-0 dengan melupakan seketika kemenangan pada minggu lalu.

"Satu lagi saya harap kami dapat memperagakan aksi terbaik masing-masing kerana peluang untuk layak begitu cerah," kata pemain kelahiran Dungun itu yang lebih mesra dipanggil Pawi.

Pemain pinjaman Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mengharapkan momentum kemenangan dapat diteruskan pasukannya biarpun beraksi di tempat lawan.

"Pada perlawanan pertama tempoh hari, kita tidak jangka melakar kemenangan begitu besar kerana lawan bukannya calang-calang pasukan.

"Tapi usaha keras kami menjadi kunci kejayaan, jadi kami harapkan momentum kemenangan itu dapat diteruskan lagi selain mengekalkan rekod tanpa tewas setakat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 2:54 PM