MATA
MATA
AFP

London: Louis van Gaal percaya semangat juang Manchester United membantu meraih kemenangan yang membolehkan mereka berada di ambang layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Pasukan kendalian Van Gaal dipaksa bekerja keras sebelum menang 2-1 di Crystal Palace sekali gus menyaksikan mereka tujuh mata di depan Liverpool, 24 jam sebelum pasukan Brendan Rodgers berkunjung ke kelab juara Chelsea, lewat malam tadi.

Dibantu perbezaan jaringan yang bagus, Van Gaal dan pemainnya sedar mereka secara efektif mencapai objektif utama musim ini jika Liverpool gagal menang di Stamford Bridge.

Maka Van Gaal boleh menganggap musim sulungnya di Old Trafford sebagai kejayaan sekalipun persembahan di Selhurst Park membuktikan masih banyak perlu diperbaiki mereka.

Menentang Palace, keutamaannya adalah memastikan kemenangan selepas kalah tiga perlawanan berturut-turut dan tidak menjaringkan sebarang gol.

Tandukan Marouane Fellaini memberikan United kemenangan selepas pemain sayap Palace, Jason Puncheon memadamkan gol pendahuluan Juan Mata menerusi penalti pada babak pertama.

“Bola sepak memang gila kerana apabila anda lihat bagaimana kami bermain menentang Chelsea, Everton dan West Brom dan anda bandingkannya dengan hari ini, ia bukanlah perlawanan terbaik kami,” kata pengendali dari Belanda itu.

“Tapi anda menang. Itulah juga keistimewaan bola sepak.

“Apa yang saya saksikan hari ini adalah semangat juang pasukan saya. Saya berkata kepada pemain, ‘apabila anda berjuang seperti hari ini, kami sukar untuk ditundukkan’. Jadi saya amat gembira dengan keputusan ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 7:48 AM