Agensi

London: Adam Lallana mahu Liverpool menjejaskan majlis keraian kejuaraan Chelsea, sekali gus menyukarkan aspirasi Manchester United layak ke Liga Juara-Juara hujung minggu ini.

Kekalahan mengejut United kepada West Brom Sabtu lalu menyebabkan mereka hanya empat mata di depan pasukan tangga kelima Liverpool dalam carta Liga Perdana Inggeris.

Sekalipun masih ada tiga perlawanan musim ini, Lallana yakin Liverpool boleh mengejar anak buah Louis van Gaal, namun dia mengakui Reds mesti menang semua baki tiga perlawanan untuk melakukannya.

Liverpool menamatkan kempen dengan perlawanan menentang Crystal Palace dan Hull, namun persinggahan pertama mereka Ahad ini adalah Stamford Bridge, berdepan juara baru liga musim ini.

“Chelsea berhak muncul juara. Carta liga tepat sekali. Mereka pasukan terbaik sepanjang musim. Anda perlu menghormatinya,” kata pemain tengah itu, yang menyambut hari jadi ke-27 Ahad ini.

“Apa yang saya tahu, kami akan ke sana dan menjejaskan parti keraian. Kami tidak sabar mahu ke sana dan mencetus kejutan, sekali gus menjejaskan sambutan kejuaraan mereka.”

United berkunjung ke Palace awal pagi Ahad ini dan menamatkan musim di Hull selepas menanti kunjungan Arsenal di Old Trafford.

Van Gaal menang semua tiga perlawanan menentang kelab itu pada babak pertama musim ini, namun pasukannya mempamerkan aksi terburuk akhir-akhir ini. Mereka kalah tiga perlawanan liga berturut-turut buat kali pertama dalam tempoh 14 tahun.

Ia memberikan Lallana harapan Liverpool boleh mengejar musuh tradisi mereka.

“Ia belum berakhir lagi,” kata pemain tengah England itu. “Kami masih boleh menamatkan kempen di empat tangga teratas, tapi kami perlukan mata maksimum. Kami akan terus berjuang hingga ke akhir.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 8:46 AM