Newcastle: Pengurus Liverpool Brendan Rodgers yakin pemainnya sudah mula serasi di padang menjelang pertembungan dengan Newcastle di St James’s Park, malam ini.

Reds masih belum meyakinkan pada awal kempen berikutan kehadiran beberapa pemain baru selepas menjual penyerang Uruguay, Luis Suarez kepada Barcelona.

Liverpool, naib juara di belakang Manchester City musim lalu, ketinggalan sembilan mata berbanding pendahulu liga Chelsea di tangga ketujuh selepas sembilan perlawanan.

Namun Rodgers mendakwa beliau sudah nampak tanda peningkatan dalam perlawanan terbaru ketika pasukannya makin menyesuaikan diri dan persembahan dijangka meningkat.

“Pemain yang boleh beraksi berlatih dengan amat gigih dan kami masih cuba memahami satu sama lain,” jelas Rodgers.

“Saya fikir kadang kala apabila anda hilang seorang pemailn, anda akan mendapat pemain baru dan dengan mereka hanya berpeluang belajar dalam perlawanan.

“Saya boleh lihat setiap hari hubungan mereka semakin akrab dan serasi.

“Itulah yang kami cuba lakukan dan setiap hari saya sudah berasa kami semakin bagus.

“Rickie Lambert yang tidak memiliki banyak peluang akan menjaringkan gol. Dia bekerja tanpa jemu setiap hari dan mempunyai beberapa sentuhan menarik menentang Swansea sebelum ini.

“Dia dan Lazar Markovic, mereka akan mendapat peluang dan harapnya mereka tidak mengecewakan saya.”

Liverpool akan tampil tanpa penyerang Daniel Sturridge yang masih belum pulih daripada kecederaan betis dan turut memaksanya diketepikan daripada kunjungan ke Real Madrid bagi aksi Liga Juara-Juara dan pertembungan dengan Chelsea di Anfield, hujung minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 November 2014 @ 5:06 AM