London: Brendan Rodgers tegas mengatakan tumpuan Steven Gerrard sama sekali tidak akan terjejas walaupun kapten Liverpool itu perlu berjuang bermati-matian ketika menentang Chelsea malam ini.

Gerrard mengharungi saat paling buruk ketika menentang Chelsea April lalu apabila kesilapannya membolehkan Demba Ba menjaringkan gol sekali gus meranapkan peluang Liverpool untuk menjulang gelaran buat kali pertama sejak 1990.

Pemain berusia 34 itu tidak begitu menyerlah sejak melakukan kesilapan berkenaan dan pasukannya berdepan satu lagi kekalahan di tangan Real Madrid pada saingan Liga Juara-Juara, awal pagi Rabu lalu.

Pengurus Reds, Rodgers merehatkan beberapa pemain lain pada perlawanan itu dan Gerrard mahu dibiarkan cergas untuk pertemuan menentang Chelsea malam ini.

Tetapi ketika Liverpool ketinggalan 12 mata di belakang Chelsea, Gerrard tentunya mahu memadam kenangan buruk musim lalu dengan mempamer aksi membanggakan ketika menentang pasukan Jose Mourinho yang melangkah ke Anfield menerusi rekod tanpa kalah sepanjang 16 perlawanan setakat ini.

Gerrard sudah mengharungi situasi sama banyak kali dan Rodgers mengharapkan satu lagi aksi membanggakan dari pemain itu.

"Dia pernah mengharungi saat sukar dalam kariernya dan dia sering dapat mengatasinya. Sesiapapun tidak menyalahkannya kerana ia sesuatu yang berkait dengan nasib," kata Rodgers.

"Dia memainkan peranan penting buat kami musim lalu. Dia mempunyai karaktor baik dan anda semua kenal dengan Steven."

Sementara itu, pemain tengah Chelsea Nemanja Matic menghangatkan suasana sebelum perlawanan dengan menyentuh mengenai kegagalan Liverpool memecahkan benteng mereka musim lalu.

"Banyak pasukan bertahan ketika menentang kami tetapi kami berjaya mengatasinya," kata Matic.

"Jika anda bermain secara bertahan, anda perlu pastikan bahawa anda tahu untuk bertahan. Ketika bermain April lalu, kami sudah membuktikan bahawa kami mempunyai kualiti."

"Kami bermain dengan corak berlainan. Kami menduduki tangga teratas dan kami mahu kekal di situ."-AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:02 AM