ANFAAL Saari (tiga dari kiri) pada sidang media mengenai permohonan program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) 2024. FOTO Faiz Anuar
ANFAAL Saari (tiga dari kiri) pada sidang media mengenai permohonan program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) 2024. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: 'Hadiah' untuk rakyat Selangor apabila kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kebajikan Masyarakat akan membuka permohonan baru bagi program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) 2024 membabitkan peruntukan sebanyak RM108 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, kerajaan negeri mensasarkan 30,000 penerima manfaat seluruh Selangor, menjadikan program BINGKAS antara program bantuan kewangan terbesar dilaksanakan berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

"Bagi tahun tahun ini, kerajaan negeri menambah baik pelaksanaan BINGKAS dengan memperluas syarat pendapatan bulan isi rumah kepada RM5,000 dan ke bawah berbanding RM3,000 sebelum ini.

"Syarat kelayakan penuh program BINGKAS bagi tahun 2024 adalah warganegara Malaysia, pengundi berdaftar di Selangor, lahir di Selangor atau menetap di Selangor melebihi 10 tahun.

"Pemohon yang mempunyai sekurang-kurangnya tanggungan dua orang anak berusia 18 tahun ke bawah.

"Program BINGKAS ini menawarkan bantuan RM300 sebulan selama 24 bulan untuk pembelian barangan keperluan asas seperti makanan, ubat-ubatan serta kelengkapan pendidikan," katanya dalam sidang media di lobi Wisma Dewan Negeri Selangor, di sini, tadi.

Anfaal berkata, sejak diperkenalkan pada tahun 2018, program BINGKAS berjaya meringankan beban kewangan dan meningkatkan daya tahan keluarga.

"Program BINGKAS ini diteruskan selaras dengan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini.

"Seterusnya menyumbang ke arah pencapaian petunjuk makro Rancangan Selangor Pertama (RS-1) untuk mengurangkan kemiskinan relatif dalam kalangan rakyat Selangor," katanya.

Beliau berkata, permohonan boleh dibuat menerusi aplikasi SELangkah atau menggunakan laman sesawang www.bingkasselangor.com bermula hari ini, jam 3 petang.

"Tarikh tutup permohonan adalah pada 15 Ogos depan. Sebarang maklumat lanjut boleh diajukan ke talian hotline Selcare 1-800-22-6600 atau melalui emel [email protected]," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 2:55 PM