BENZEMA (kanan) jaring gol pada minit ke-27.
BENZEMA (kanan) jaring gol pada minit ke-27.

Madrid: Real Madrid melangkah ke pusingan kedua Liga Juara-Juara selepas gol tunggal dihasilkan Karim Benzema ketika menentang Liverpool membolehkan mereka mencatat rekod bersih Kumpulan B.

Pengurus Liverpool Brendan Rodgers mengejutkan ramai apabila membariskan pasukan berlainan berbanding skuad biasa yang ditampilkan sebelum ini dan ketiadaan Steven Gerrard serta Mario Balotelli membuatkan aksi Reds agak hambar. Kedua-dua pemain itu mahu direhatkan menjelang aksi menentang Chelsea, Sabtu ini.

Walaupun menunjukkan semangat juang lebih tinggi berbanding ketika tewas 3-0 di tangan Real di Anfield dua minggu lalu, gol Benzema pada babak pertama menyaksikan Liverpool berdepan kekalahan ketiga berturut-turut di peringkat Eropah.

Kemenangan 4-0 Basel ke atas Ludogorets Razgrad memberikan mereka peluang lebih cerah mengiringi Real ke pusingan kedua.

Liverpool dan Ludogorets mengekori juara Swiss itu dengan tiga mata. Mereka bakal bertemu di Bulgaria manakala Basel melayan kunjungan Madrid di Switzerland.

Jurulatih Madrid Carlo Ancelotti gembira menyaksikan pasukannya layak ke pusingan kedua walaupun tidak mempamerkan aksi hebat seperti dilakukan sebelum ini.

"Saya rasa kami beraksi baik walaupun rentaknya tidak pantas seperti biasa," katanya.

"Kami menjaringkan gol di babak pertama dan mengawal permainan tanpa mengambil banyak risiko."

Cristino Ronaldo memburu gol Liga Juara-Juara ke-71 peribadi untuk menyamai rekod sepanjang zaman dipegang legenda Real, Raul tetapi bintang Portugal itu kecewa apabila beberapa cubaannya dinafikan penjaga gol Liverpool, Simon Mignolet.

Penjaga gawang Belgium itu bertungkus lumus sejak awal permainan apabila diuji rembatan James Rodriguez pada minit ketiga sebelum rembatan Ronaldo beberapa minit kemudian.

Real beroleh gol pada minit ke-27 apabila Isco melorongkan bola buat Marcelo dan pemain Brazil itu membuat hantaran disudahkan Benzema.-AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 5:01 AM