Reuters

London: Destinasi trofi Liga Perdana masih belum dapat ditentukan walaupun juara bertahan Chelsea bakal menentang naib juara tahun lalu Manchester City, Ahad ini tetapi pemenang perlawanan itu pasti memperoleh bekalan keyakinan psikologi untuk mengharungi kempen musim ini.

Pertemuan dua pencabar utama musim ini berlangsung ketika tirai Liga Perdana baru disingkap awal minggu ini tetapi tiga mata tetap tiga mata, tidak kira sama ada mereka menang pada Ogos atau Mei.

Jika Manchester City menang, mereka akan mendahului Chelsea dengan kelebihan lima mata sedangkan musim lalu, mereka langsung tidak pernah berbuat demikian ke atas skuad kendalian Jose Mourinho itu.

City memulakan kempen dengan kemenangan mudah 3-0 ke atas West Bromwich Albion, Isnin lalu sambil Yaya Toure mahu mengulangi pencapaian terbaik seperti yang dilakukannya musim lalu menerusi gol tercantik setakat ini apabila meledak jaringan kedua City dari penjuru kotak penalti.

Aksi cemerlang Toure selain sokongan serta kemantapan yang dipamerkan kapten City Vincent Kompany membantu pasukannya menjulang kejayaan demi kejayaan setakat ini.

“Saya tahu apa yang perlu lakukan dan tidak peduli dengan pandangan orang lain terhadap saya. Saya tidak akan mengalah - saya sentiasa sedia,” kata Toure ketika ditemui di Hawthorns.

Pengurusnya, Manuel Pellegrini yang baru menandatangani kontrak lanjutan bersama kelab, pernah berkata Toure berdepan masalah musim lalu gara-gara kematian abangnya, Ibrahim dan kenyataan itu dibuat ketika Toure dilihat bergelut ketika menentang pasukan teratas.

Justeru, kemampuannya pasti menjadi persoalan apabila Chelsea bertandang ke Etihad, Ahad ini.

Chelsea pula bermula dengan langkah kiri apabila sekadar seri 2-2 dengan Swansea City di Stamford Bridge tetapi tumpuan lebih terarah kepada insiden selepas perlawanan di mana Mourinho bertelagah dengan doktor pasukan, Eva Carneiro di tepi padang.

Mourinho dikatakan berang apabila Eva serta pakar fisiologi Jon Fearn masuk ke padang untuk merawat kecederaan Eden Hazard ketika permainan hampir tamat.

Chelsea ketinggalan 10 orang selepas penjaga gol Thibaut Courtois dibuang padang dan ketika kehadiran Eva dan Fearn, Hazard terpaksa keluar seketika sekali gus mengakibatkan Chelsea bermain dengan sembilan pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 9:22 AM