London: Pengurus Chelsea, Jose Mourinho tidak akan berdepan tindakan disiplin daripada Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris selepas badan induk itu membebaskannya daripada menggunakan “bahasa diskriminasi” terhadap bekas doktor kelab, Eva Carneiro.

Eva dan pakar fisio Jon Fearn dibidas oleh Mourinho kerana berlari masuk merawat Eden Hazard ketika Chelsea seri 2-2 dengan Swansea City pada minggu pembukaan musim Liga Perdana, tindakan yang menyebabkan kelab juara Inggeris itu beraksi dengan hanya sembilan pemain di padang.

Eva, 42, kemudiannya digugurkan daripada tugasan hari perlawanan bulan lalu dan sejak itu sudah meninggalkan kelab London itu.

Layanan terhadapnya mencetus banyak kritikan terhadap Mourinho, berikutan dakwaan beliau mengherdik Eva di tepi padang ketika perlawanan menentang Swansea dengan menggunakan bahasa ibundanya Portugis.

Bagaimanapun FA, yang mendapatkan nasihat pakar akademik dalam bahasa Portugis, menyatakan kelmarin mereka “berpuas hati perkataan yang digunakan tidak melanggar bahasa diskriminasi di bawah peraturan FA.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 7:43 AM