ZETTY bersama produk keluarannya.
ZETTY bersama produk keluarannya.
Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman

Kuala Lumpur: One Drop Sdn Bhd (One Drop Perfumes), peneraju pasaran tempatan menerusi segmen produk pati wangian menyasarkan pertumbuhan jualan sebanyak 30 peratus iaitu sebanyak RM15 juta tahun ini bersandarkan kepada pengenalan tiga jenis produk berasaskan wangian.

Pengarah Eksekutifnya, Zetty Ismail berkata, pihaknya akan terus mengeluarkan pati wangian yang diinspirasi daripada jenama antarabangsa membabitkan kira-kira 104 jenis pati minyak wangi bagi memenuhi permintaan pengguna.

“Di dalam inventori wangian syarikat, terdapat lebih 400 jenis dan kami akan terus memperkenalkan lebih banyak wangian 100 peratus bebas alkohol, tahan lama dan sesuai untuk dibawa ketika bersolat.

“Dari aspek pemasaran eksport pula, selain menyokong pasaran sedia ada di Singapura dan Brunei, kami akan memperluaskan dan berhasrat menembusi pasaran negara Islam lain seperti di Kenya, Indonesia dan Kazakhstan,” katanya kepada Bisnes Metro, baru-baru ini.

Sementara itu, pihaknya akan lebih fokus kepada pembangunan pasaran sedia ada sejajar dengan matlamat utama pada tahun ini dengan menubuhkan pejabat di Afrika Selatan, Kazakhstan dan Russia demi memastikan kesinambungan proses berkenaan.

Katanya, One Drop Perfumes yang menjadi pati wangian tanpa alkohol berbentuk semburan pertama di dunia juga merancang untuk tampil dengan produk wangian terbaru termasuk wangian kereta dan rumah pada suku pertama tahun depan.

Beliau berkata, jumlah pengedar di Malaysia setakat ini mencecah 20,000 orang, termasuk ibu tunggal bagi membantu mereka dalam mencari pendapatan sampingan dan turut menyasarkan pertumbuhan sebanyak 25 peratus jumlah pengedar menjelang akhir tahun ini.

Pati wangian ini boleh didapati dalam beberapa set tertentu yang menghimpunkan 3, 4 dan 8 jenis wangian dalam setiap kotak pada harga antara RM25 hingga RM45.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 6:50 AM