AZEEM Fahmi pada sidang media selepas latihan persiapan menjelang kejohanan temasya Sukan Olimpik Paris 2024, di Track Kompleks Majlis Sukan Negara Bukit Jalil, semalam. FOTO HAZREEN MOHAMAD
AZEEM Fahmi pada sidang media selepas latihan persiapan menjelang kejohanan temasya Sukan Olimpik Paris 2024, di Track Kompleks Majlis Sukan Negara Bukit Jalil, semalam. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yakin pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mampu menyerap segala strategi terakhir bagi membantu dirinya tampil dengan prestasi terbaik di Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Pengarah Kejurulatihan KOM, Robert Ballard berkata, tempoh yang ada kurang dua minggu sebelum temasya empat tahun sekali itu bermula dilihat agak pendek namun beliau percaya Azeem mampu melakukan sesuatu bagi meningkatkan teknik lariannya di dalam latihan sebelum terbang ke Paris.

"(Prestasinya) hampir sama sewaktu di Sukan Asia (2022). Sekarang ini kita berada di fasa terakhir yang sangat penting untuk mencapai kemuncak terutama dalam tempoh dua minggu terakhir (sebelum hari pertandingan).

"Kamu boleh melakukan semua persiapan dalam tempoh empat tahun sebelum ini tetapi jika gagal melaksanakan semua strategi yang betul dalam tempoh dua minggu terakhir, kamu akan terlepas peluang untuk melakukan yang terbaik," katanya kepada media.

Selain itu, Ballard yang mempunyai pengalaman beraksi di Olimpik Seoul 1988 itu menyedari atlet berusia 20 tahun itu amat memerlukan sokongan penuh dari pelbagai sudut untuk dia berada di momentum terbaik sekali gus mencapai kemuncak prestasi.

"Salah satu kuncinya, kami akan cuba menyediakan perkhidmatan dari kakitangan profesional menerusi ISN (Institut Sukan Negara) dan juga pakar termasuk diri saya sendiri yang akan berkongsi pengalaman berada di final Olimpik dan melatih (atlet) di peringkat Olimpik sebelum ini.

"Kami akan cuba memudahkan atlet dan (mengingatkan) yang ini adalah hanya satu lagi pertandingan. Benar kami mahu dia mencapai kemuncak (prestasi) dalam pertandingan ini tetapi kami tidak meminta dia untuk melakukan sesuatu yang luar biasa.

"Kami hanya mahu dia melakukan apa yang sudah dilakukan dalam latihan kerana itulah tujuan latihan,"kata Ballard.

Untuk makluman, sebelum Sukan Asia Hangzhou 2022, Azeem gagal mencatat masa terbaik namun dia berjaya mempamerkan larian cukup menyakinkan ketika itu sekali gus membolehkan dirinya memenangi pingat gangsa dengan catatan 10.11s.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 5:50 PM