FAHMI ketika sidang media selepas mesyuarat Pasca Kabinet di kementeriannya hari ini. FOTO Bernama
FAHMI ketika sidang media selepas mesyuarat Pasca Kabinet di kementeriannya hari ini. FOTO Bernama
Farah Marshita Abdul Patah


Putrajaya: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil meminta pemimpin pembangkang supaya tidak tunjuk hero dalam isu membabitkan keputusan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul membabitkan status enam bekas Ahli Parlimen Bersatu.

Sebaliknya, Fahmi berkata, pemimpin Bersatu yang seharusnya dipersalahkan kerana presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpeluang melakukan pindaan kepada perlembagaan parti itu seperti Umno dan DAP, sebelum Pilihan Raya Umum (PRU).

"Jadi semua calon Umno, DAP malah Keadilan, tahu dan terikat dengan aku janji dan perlembagaan parti.

"Berbeza dengan Bersatu, yang paling tidak mahu menyaksikan sejumlah pindaan dicadangkan Menteri Undang-Undang ketika itu, sekarang Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan malah banyak lagi yang boleh diceritakan.

"Apa saya boleh kata, senjata makan tuan. Kalau mereka hendak salahkan sesiapa, salah Tan Sri Muhyiddin, Hamzah (Datuk Seri Hamzah Zainudin) dan Radzi (Datuk Dr Radzi Jidin).

"Tanya siapa yang paling tidak mahu pindaan yang menyeluruh, jadi jangan sekarang hendak tunjuk hero," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi menegaskan, mengikut Peraturan Mesyuarat 99, keputusan yang dibuat Yang Di-Pertuan Dewan Rakyat adalah muktamad.

"Ini adalah perkara asas dalam aturan urusan mesyuarat. Kita semua maklum Perkara 49A (2) yang menyatakan dengan jelas pemecatan tidak bererti kekosongan kerusi dan lompat parti.

"Jadi kalau kita teliti apa yang berlaku adalah ditafsirkan pemecatan terancang. Inilah yang berlaku. Apabila perdana menteri berkata Tan Sri Muhyiddin hanya membaca separuh jalan, yang beliau maksudkan adalah Perkara 49A (2)," katanya.

Semalam, Muhyiddin mengesahkan parti itu menerima surat daripada Johari pada lewat petang, 9 Julai lalu yang menyatakan tidak berlaku kekosongan di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan untuk enam kerusi Parlimen bekas ahli Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Enam Ahli Parlimen yang terkait dengan isu terbabit adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 5:48 PM