Minyak wangi Niqma.
Minyak wangi Niqma.
Syarifah Dayana Syed Bakri


NIQMA Perfume, wangian yang mendapat pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meletakkan sasaran jualan mencecah 5,000 botol menjelang Ramadan ini.

Pengasasnya, Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa berkata, pihaknya menghasilkan minyak wangi yang sesuai digunakan untuk beribadat dengan bahan yang digunakan mendapat pengiktirafan halal dari JAKIM.

“Minyak wangi Niqma Perfume dihasilkan supaya boleh digunakan ketika beribadat kerana kami hanya memilih bahan yang halal. Maka, pengguna boleh memakai wangian ini tanpa ragu-ragu khususnya ketika menunaikan solat atau ketika menunaikan ibadat haji atau umrah,” katanya kepada Bisnes Metro, semalam.

Menurutnya, sebagai permulaan, pihaknya menghasilkan enam wangian untuk lelaki dan wanita serta akan memperkenalkan wangian dikenali sebagai Oud Raudhah.

“Oud Raudhah dihasilkan khusus mereka yang mahu menunaikan ibadat haji dan umrah kerana baunya lebih lembut. Ia akan dilancarkan pada Ramadan nanti pada harga RM30 bagi pek 8ml,” katanya.

Menurutnya, pihaknya membuka peluang untuk mereka yang mahu menambah pendapatan dengan menjadi ejen dan stokis bagi produk yang ditawarkan dengan modal serendah RM450.

“Untuk Pakej Emas, pelabur layak menjadi ejen dan akan menikmati diskaun sehingga 30 peratus bagi setiap botol wangian yang dijual.

“Manakala, bagi Pakej Platinum, pelabur layak menjadi stokis dengan modal RM2,000 selain dapat menikmati diskaun sehingga 38 peratus,” katanya.

Setiap wangian didatangkan dalam pek 30ml pada harga RM79.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2017 @ 2:28 AM