TANG Jie (kiri) dan Ee Wei dijangka mampu melepasi peringkat kumpulan. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
TANG Jie (kiri) dan Ee Wei dijangka mampu melepasi peringkat kumpulan. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dilihat mempunyai peluang cukup baik untuk ke pusingan seterusnya selepas berakhir proses undian peringkat kumpulan bagi acara badminton Sukan Olimpik Paris yang diadakan di Kuala Lumpur, hari ini.

Ia selepas pasangan negara itu diundi dalam Kumpulan D bersama pasangan ranking kedua dunia dari China, Feng Yanzhe-Huang Dongping selain beregu dari Amerika Syarikat (AS), Vinson Chiu-Jennie Gai dan Terry Hee-Jessica Tan dari Singapura.

Di atas kertas, pasangan negara itu dijangka akan mengiringi beregu China ke pusingan seterusnya.

"Untuk beregu campuran, ada peluang untuk mara dari peringkat kumpulan walaupun bukan mudah kerana ada pasangan China yang pemain wanitanya bekas juara Olimpik dan juga ada Terry-Jessica dan beregu Amerika Syarikat.

"Jadi Tang Jie-Ee Wei kena bersiap sedia dengan sebaiknya dari sudut mental, fikiran dan juga dalam latihan selain jaga kesihatan, itu yang paling penting," kata Rexy.

Bagi beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah diundi dalam kumpulan maut apabila berada dalam Kumpulan A bersama pemenang pingat perak di Tokyo 2020 dari China, Chen Qingchen-Jia Yifan dan gandingan berpengalaman Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti.

Turut berada dalam kumpulan berkenaan adalah beregu Jepun yang menduduki ranking keenam dunia, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 5:40 PM