Oleh Norhadiani Baharom


Kuala Lumpur: Pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu sebanyak tiga kali, Hafiz Suip, 24, diumumkan sebagai artis jemputan Konsert Krisdayanti Live in KL 2014, pada sidang media kedua konsert itu di sini, petang tadi. 

Hafiz menjadi pilihan pelayar dan pelanggan setia wangian tanpa alkohol itu menerusi laman rasmi One Drop Perfumes yang tampil dengan kelainan yakni memberi peluang kepada umum memilih penghibur tempatan yang ingin disaksikan mereka menerusi konsert berkenaan.

Dibawakan oleh syarikat bumiputera, One Drop Perfumes Sdn Bhd, konsert yang berlangsung Dewan Planery, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 22 November ini, Hafiz akan menyampaikan dua lagu secara duet bersama Krisdayanti, salah satunya berjudul Cinta yang pernah dinyanyikan Krisdayanti bersama Melly Goeslaw, termasuk satu single popular dari Hafiz sendiri.

Hadir sama pada sidang media itu, Krisdayanti, Pengarah Urusan Kumpulan One Drop Perfumes , Josafri Johari; Pengarang Hiburan Harian Metro, Roslen Fadzil dan Pengurus Perhubungan Awam Royale Chulan, Farah Halim.

Hafiz dan Krisdayanti juga sempat mendendangkan lagu Cahaya secara duet di sidang media berkenaan.

Harian Metro dipilih sebagai akhbar rasmi konsert ini manakala stesen radio Hot FM sebagai radio rasmi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 6:33 PM