SOO Wincci. FOTO Maya Sarina Mahat
SOO Wincci. FOTO Maya Sarina Mahat
Oleh Michelle Gun


Kuala Lumpur: Berita pelakon dan penyanyi jelita Soo Wincci, 29, berpuasa pada Ramadan bukan perkara baru dan sudah diamalkannya sejak empat tahun lalu.

Biarpun sibuk dengan penggambaran drama baru ntv7, Justice Stranger sepanjang Ramadan ini tidak menghalang bekas ratu cantik itu untuk berpuasa.

Wincci berkata, seorang daripada pelakon drama itu, Johnson turut menyatakan hasrat ingin berpuasa selepas melihat Wincci masih bertenaga sepanjang hari.

“Pada mulanya, kru produksi hairan kenapa saya berpuasa kerana saya bukan beragama Islam. Namun, mereka kagum apabila melihat saya bertenaga dan masih mampu menjalani penggambaran walaupun tidak makan dan minum sepanjang hari,” katanya.

Menurutnya, puasa tahun ini lebih mencabar kerana dikehendaki menjalani penggambaran dalam cuaca panas di sekitar Lembah Klang.

Berkongsi dietnya, Wincci berkata, dia mengamalkan pemakanan sihat supaya badannya cergas sepanjang Ramadan.

“Berikutan jadual kerjaya padat, saya merangka pelan diet sendiri yang terdiri daripada makanan berasaskan bijirin dan hidangan sihat.

Untuk berbuka pula, saya menikmati hidangan lebih 300 kalori. Hanya selepas berbuka saya akan makan sayur dan makanan lain.

“Saya juga kurang mengambil makanan berprotin dan mendapati berat badan sudah turun empat kilogram,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2015 @ 6:20 PM