WINCCI tidak gentar hadapi apa juga rintangan untuk kejar kejayaan.
WINCCI tidak gentar hadapi apa juga rintangan untuk kejar kejayaan.
Oleh Norhayati Nordin


Ingin terus maju dan berjaya dalam karier seni, penyanyi Soo Wincci, 30, mula mengatur impian baru selepas kejayaan Konsert Simply Inwinccible di Dewan Plenary Pusat Konvensyen, Kuala Lumpur (KLCC) pada 30 Oktober lalu.

Sedar bukan mudah laluan dihadapi untuk melihat konsert itu menjadi kenyataan tetapi dia yakin tiada yang mustahil jika ingin sesuatu.

Wincci juga tidak pernah serik menganjurkan konsert meskipun tiada penajaan. Malah menyimpan azam akan menganjurkan konsert lain yang lebih istimewa buat peminatnnya.

Katanya, dia tidak suka melayan perasaan kecewa dan mahu merebut setiap peluang yang datang. Dia juga sedar bagi memastikan setiap apa yang diimpikan itu menjadi kenyataan, perlukan kerja keras.

“Bagi saya, selagi ada ruang dan peluang, saya pasti tidak akan membiarkannya begitu saja. Saya juga tidak gentar berhadapan dengan apa saja rintangan demi mengejar impian dan kejayaan. Saya kini sudah mula mengatur perancangan,” katanya.

Wincci akui selama ini dia tidak suka dengan perasaan kecewa dan akan terus gigih berusaha untuk memastikan apa yang diimpikan itu berjaya.

“Saya juga akur dengan segala cabaran dan rintangan kerana kejayaan tidak pernah datang bergolek. Ada pengorbanan perlu dilakukan.

“Apapun, saya seorang yang akan utamakan janji. Bagi saya, kalau sudah berjanji mesti ditepati. Walau sesukar mana sekali pun kepayahan harus dilalui, saya sentiasa tabah.

“Saya juga seorang yang positif dan bersikap terbuka. Justeru, selagi ada ruang pasti saya akan berusaha apa termampu demi merealisasikan impian,” katanya.

Wincci juga enggan berfikiran sempit dan mudah menyerah kalah. Katanya, jika rancangan pertama diatur tak menjadi, perlu ada perancangan susulan.

“Saya tidak pernah terkilan dengan apa yang sudah dilalui. Malah saya amat berpuas hati kerana impian sudah menjadi kenyataan dan konsert dirancang pun berjaya.

“Saya rasa sangat berbaloi dengan pelaburan RM500,000 yang dibelanjakan semata-mata untuk penganjuran konsert baru-baru ini.

“Biarpun wang itu hasil duit poket saya selama ini yang aktif mengetengahkan karier seni hingga ke Taiwan, saya gembira melabur untuk peminat.

“Sebagai penghibur profesional, saya akui menjaga reputasi sangat penting. Jadi, biarlah saya yang mengeluarkan duit untuk membuat peminat gembira.

“Apatah lagi saya tidak mahu kepercayaan daripada pihak luar terutama peminat saya hilang memandangkan janji dengan mereka sudah agak lama dibuat.

“Demi menjaga reputasi dan nama yang sudah kukuh dibina selama ini daripada terjejas adalah keutamaan saya kerana ia tak boleh ditukar ganti dengan wang ringgit,” katanya.

Wincci yang pernah merakamkan lagu Melayu, Musim Asmara berkata, dia juga bukan jenis orang suka menuding jari dan mudah putus asa.

Katanya, perkara itu tak pernah terjadi dan dia juga yakin dengan pepatah di mana ada usaha pasti di situ ada jalan.

Pada Konsert Simply Inwinccible itu, Wincci mendendangkan lebih 20 lagu termasuk madley. Antaranya Windsome, Dream, Akhirnya Cinta, 4 Minutes (duet dengan Winson Voon), Love Triumphs, Don’t Mention It, Happiness, Love Is Near, If You Still Can’t Let Go dan One Million.

Seramai 100 kru termasuk 40 pemuzik terbabit untuk Konsert SimplyInwinccible itu.

Wincci juga rasa bertuah kerana memiliki ibu bapa, keluarga dan rakan yang sentiasa setia berada di belakangnya untuk terus memberi sokongan. Katanya, mereka adalah kekuatannya untuk terus mengejar impian.

Mahir memasak dan pernah menyertai Masterchef Malaysia, Wincci juga aktif dalam bidang lakonan. Katanya, drama Mandarin lakonannya, Injustice Stranger kini rancak disiarkan di ntv7.

“Pembabitan saya bukan sekadar menyanyi kerana saya juga memberi fokus pada bidang seni lain seperti lakonan dan pengacaraan kerana itu juga minat saya.

“Bagi saya, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke panggal lengan. Jadi, saya sedia menceburi apa saja cabang seni untuk lebih berjaya,” katanya.

Turut menanam satu lagi tekad dalam memantapkan karier seninya, Wincci berkata dia juga menyimpan cita-cita untuk bergelar pengarah suatu hari nanti.

Katanya, dia kini semakin giat menimba pengalaman sebagai pelakon dan belajar mengurus kerja belakang tabir. Dia meletak sasaran lima tahun untuk merealisasikan impian duduk di kerusi pengarah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2015 @ 5:08 AM