Oleh Norhayati Nordin


Tahun lalu penyanyi dan pelakon Soo Wincci, 31, terlalu sibuk dengan urusan dan aktiviti seni di Taiwan hingga jarang pulang ke Malaysia dan meluangkan masa bersama keluarga.

Malah urusan syarikatnya juga diserah kepada orang lain tetapi tidak lagi tahun ini. Tahun Baru Cina yang diraikan masyarakat Cina esok dianggap sangat istimewa bagi Wincci dan dilihat lebih membawa tuah kerana bersempena tahun Monyet.

Wincci yang juga Ratu Cantik Malaysia 2008 dan mewakili negara ke pertandingan Ratu Cantik Dunia 2008, mahu memanfaatkan rezeki dan tuah yang akan diperolehnya tahun ini.

Katanya, dia sudah mengatur perancangan sendiri dan menanam tekad untuk terus mengembangkan karier seninya ke peringkat antarabangsa selain Taiwan.

“Kalau tahun lalu segala urusan membabitkan Beyond Artistes Sdn Bhd yang berpaksi pengurusan artis dan bakat diuruskan kakitangan yang saya percayai, tahun ini saya berasakan sudah tiba masanya tampuk pengurusan syarikat diterajui sendiri.

“Saya juga kini Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Beyond Artistes dan sudah ada beberapa perancangan yang diatur,” katanya.

Wincci sedar tanggungjawab yang dipikulnya makin besar menyebabkan dia akan pulang ke Malaysia pada setiap bulan bagi memantau operasi syarikat.

“Sebagai permulaan, saya bercadang mengetengahkan satu kumpulan dan enam artis solo Cina di bawah Beyond Artistes ke pasaran Taiwan.

“Saya yakin untuk membantu mereka mengembangkan bakat dan karier seni ke Taiwan kerana kini nama Wincci pun sudah kukuh di sana.

“Jadi, secara tidak langsung ia memudahkan saya untuk mencari peluang buat mereka. Bagi saya, apa salahnya menghulurkan sedikit bantuan,” katanya.

Kata Wincci, tahun ini dia sangat teruja kerana karier nyanyiannya memasuki pasaran China dan dia baru saja pulang dari negara itu.

“Sebelum balik ke Malaysia, saya lebih dulu berada di China kerana terbabit dalam program hiburan di stesen TV di sana untuk sambutan Tahun Baru Cina.

“Kini perancangan saya untuk mengembangkan karier seni ke tahap lebih jauh lagi nampaknya berjalan lancar. Bahkan selepas ini saya akan sering berada di luar negara,” katanya.

Meraikan Tahun Baru Cina serba sederhana bersama keluarga, Wincci akui dalam keadaan ekonomi negara yang kurang stabil kini dia perlu berbelanja secara berhemat.

“Saya sekarang perlu memikirkan bagaimana mahu menambahkan pendapatan kerana ada syarikat yang diusahakan.

“Saya juga ada pelbagai projek dirancang. Satu daripadanya ialah penganjuran konsert solo saya di Taiwan yang dijangka berlangsung Oktober depan,” katanya.

Wincci yang juga berbakat dalam bidang masakan berkata, dia ingin menerbitkan program memasak secara dalam talian (online).

Bagaimanapun, katanya, dia akan lebih dulu mengadakan siri jelajah ke seluruh negara untuk mencari bakat tukang masak yang boleh diketengahkan.

Katanya, melalui pertandingan memasak diadakan, juara yang menang secara tidak langsung layak menyertai program memasak dirancang itu.

Menurut Wincci, program memasak itu akan dilakukan di Korea Selatan dan ini membolehkan makanan tempatan diperkenalkan di sana.

Kini sibuk menjalani penggambaran telefilem Beautiful World untuk ntv7, Wincci puas hati dengan pencapaian diraihnya sebagai penyanyi dan pelakon sepanjang tahun lalu.

“Saya sangat berpuas hati kerana berjaya membawa pulang enam anugerah untuk nyanyian dan empat lagi sebagai pelakon dalam industri perfileman Cina tempatan.

“Sehubungan itu, kini saya menyimpan impian untuk 2016 supaya memperoleh pengiktirafan anugerah pada peringkat antarabangsa pula.

“Apapun, saya tetap yakin kejayaan takkan datang bergolek tanpa usaha. Jadi kerana sudah terbiasa berdikari maka saya akan terus giatkan usaha,” katanya.

Wincci yang berjaya merealisasikan impiannya mengadakan Konsert Simply Inwinccible di Dewan Plenary Pusat Konvensyen, Kuala Lumpur (KLCC) pada 30 Oktober tahun lalu, gembira usaha gigihnya berhasil.

Sempena sambutan Tahun Baru Cina ini juga, Wincci gembira apabila konsert itu akan disiarkan ntv7 pada 11 Februari ini, jam 1.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2016 @ 5:03 AM